Fabulous Five - Kebangkitan Renault
Tampil dengan lima model CBU terbaru, Renault kini bersedia untuk memenuhi ekspektasi yang anda taruhkan pada sebuah jentera Renault.
BIARPUN keletihan memandu uji lima buah kereta sekali gus dalam masa sehari suntuk, pengalaman itu rasanya tetap berbaloi. Apatah lagi model yang ditawarkan oleh pihak TC Euro Cars (TCEC) itu sememangnya ditunggu-tunggu sejak ia diperkenalkan kepada media pada pertengahan tahun 2008.
Menjadi pemegang tunggal francais jenama Renault dari Perancis, TCEC yang merupakan syarikat milik penuh Tan Chong Motors Holdings mula bertapak di pasaran tempatan pada tahun 2003.
Mahu membina rasa percaya pengguna terhadap jenamanya, TCEC memulakan kempennya menerusi model komersial atau MPV bersaiz sederhana iaitu Renault Kangoo.
Kesungguhan itu dapat dilihat apabila Renault Kangoo kemudiannya dihasilkan dalam bentuk CKD pada tahun 2005. Sehingga kini, sebanyak 4,000 unit Kangoo telah berjaya dijual. Angka itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Renault sudah mempunyai asas pengikut yang semakin besar.
Mahu memeriahkan kembali ruang pamerannya dengan model-model baru yang lebih mengujakan, TCEC membawa masuk lima model yang sukar untuk dipandang sepi begitu sahaja.
Menyifatkan semua model baru itu sebagai Fabulous Five, ia terdiri daripada model Clio Hatchback, Megane Coupe Cabriolet, Grand Espace (MPV) dan dua model untuk mereka yang inginkan merasai sendiri prestasi sebenar jentera Perancis - apa lagi kalau bukan Clio RS 197 serta Mégane Renaultsport 230 Renault F1 Team R26 atau Megane R26.
Kesemua model ini nyata mengangkat nilai jenama Renault iaitu prestasi, gaya, individualiti dan keselamatan ke tahap tertinggi.
Perjalanan sejauh lebih 500 kilometer dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highland itu dimulakan dengan model Clio Hatchback berwarna putih yang cukup menawan.
Bagi peminat model hatchback, Clio menawarkan ciri yang turut dimiliki oleh kenderaan bersaiz dan berkapasiti enjin lebih besar. Merangkul anugerah European Car of The Year pada tahun 2006, Clio dikuasakan dengan enjin bersesaran 1.6 liter yang dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan.
Dengan reka bentuk luaran yang sporty dan moden, memandu Clio 1.6 di jalan sesak di Petaling Jaya sebelum memasuki lebuh raya mampu menyerlahkan karakter jentera ini.
Clio masih boleh dianggap sebagai sebuah hatchback yang tidak membosankan. Kuasa enjinnya tidak mengecewakan, walaupun sesekali pertukaran gear berlaku agak lambat bagi membolehkan hatchback ini mendapat momentum pecutan.
Ruang dalamannya pula memaparkan layout papan pemuka yang kemas dan ringkas. Dimonopoli oleh rona hitam pada setiap inci kemasannya, Clio terasa mewah dalam kesederhanaannya.
Memasuki jalan lama menuju ke Cameron Highland, penulis bertukar kepada model yang memang layak untuk menguji selekoh yang berselirat di sana. Memang direka untuk mereka yang gilakan prestasi, Clio RS memenuhi setiap ekspektasi yang diharapkan padanya.
Enjin dua liternya yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 197hp terasa cukup bertenaga. Lebih menarik lagi, enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang cukup mudah dikendalikan.
Dengan tujahan tork maksimum 215Nm, memotong kenderaan dan mendaki laluan berbukit terasa begitu mudah biarpun berada pada kedudukan gear empat atau lima.
Cuma, kadang-kadang jentera ini terasa mengalami sedikit oversteer terutamanya ketika mengambil selekoh tajam dalam kelajuan tinggi daripada biasa.
Jika Clio RS sudah memuaskan hati, keseronokan memandu bertambah apabila kaki mula memijak pedal minyak Megane R26. Untuk makluman, Megane F1 Team R26 dibangunkan oleh pihak Renault bagi meraikan kejayaan mereka dalam Kejohanan Dunia F1 bagi kategori pengeluar pada tahun 2005 dan 2006.
Merupakan versi terbaru bagi model Mégane Renault Sport, Megane R26 nyata diberi suntikan elemen kereta sport sebenar. Pengendalian model ini nyata amat mengujakan, apatah lagi misi kali ini ialah menyusuri laluan mendaki Simpang Pulai yang sarat dengan selekoh-selekoh tajam.
Ciri pengendalian cemerlang ini banyak disumbangkan oleh penggunaan kerangka Cup yang hadir bersama rekaan 'lokasi' tempat duduk selain aspek limited slip differential yang ada padanya.
Nadi R26 terletak pada unit enjin 16 injap turbocharged yang berupaya menyediakan kuasa setinggi 230bhp. Kuasa tujahan dan respon enjinnya dapat dirasa hampir serta merta apabila jarum rpm mendaki dari angka 2,000 hingga 6,000 rpm.
Segala kuasa itu dieksploitasi sebaik mungkin menerusi kotak transmisi manual enam kelajuan (NDO). Menerusi sistem ekzos yang telah diubahsuai, bunyi enjin dapat didengar dengan agak ketara dari dalam kabin, membuatkan pedal minyak semakin galak ditekan.
Apalah gunanya prestasi tanpa kuasa membrek yang sewajarnya. Justeru, R26 ini dilengkapi dengan barisan sistem brek terbaik termasuklah ABS, EBD serta ESP (Electronic Stability Programme).
Biarpun dengan prestasi yang boleh membuatkan pemandu lupa untuk memandu perlahan, model ini tidak mengabaikan aspek penjimatan minyak. Bagi gabungan perjalanan di bandar dan lebuh raya, 100 kilometer hanya memerlukan sekitar 8.5 liter petrol.
Setelah menikmati hidangan menu Inggeris, lengkap dengan teh dan scones, perjalanan pulang ke Kuala Lumpur diiring dengan keselesaan yang ditawarkan oleh MPV Grand Espace.
Bila bercakap tentang MPV bersaiz penuh, masalah biasa yang sering diutarakan ialah kekurangan kuasa. Tetapi, masalah itu langsung tidak timbul ketika memegang stereng Grand Espace.
Terima kasih pada enjin empat silinder 16 injap dengan ciri Twin Scroll turbo yang memberikan tork sehingga 270Nm secara konsisten ketika jarum rpm berlegar sekitar 2,000 rpm. Hasilnya, dengan padanan transmisi automatik lima kelajuan, Grand space terasa seperti sebuah sedan dan bukannya seakan memandu sebuah bas mini.
Pertukaran terakhir untuk hari itu ialah model Renault paling bergaya, Megane Coupe Cabriolet. Sebabnya, Megane CC ini mengaplikasikan bumbung kaca automatik pertama di dunia yang boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 22 saat sahaja.
Namun, angan-angan untuk menghirup udara segar dan menunjuk-nunjuk kepada pengguna jalan raya yang lain terpaksa dilupakan kerana pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya.
Apa yang pasti, kelima-lima model terbaru Renault ini membawa gelombang baru kepada rangkaian model CBU daripada TCEC yang mensasarkan jualan sebanyak 250 unit (kombinasi semua model) menjelang akhir tahun depan.
SOURCE: KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment