Saturday, October 18, 2008

RENAULT

Fabulous Five - Kebangkitan Renault

Tampil dengan lima model CBU terbaru, Renault kini bersedia untuk memenuhi ekspektasi yang anda taruhkan pada sebuah jentera Renault.




BIARPUN keletihan memandu uji lima buah kereta sekali gus dalam masa sehari suntuk, pengalaman itu rasanya tetap berbaloi. Apatah lagi model yang ditawarkan oleh pihak TC Euro Cars (TCEC) itu sememangnya ditunggu-tunggu sejak ia diperkenalkan kepada media pada pertengahan tahun 2008.


Menjadi pemegang tunggal francais jenama Renault dari Perancis, TCEC yang merupakan syarikat milik penuh Tan Chong Motors Holdings mula bertapak di pasaran tempatan pada tahun 2003.

Mahu membina rasa percaya pengguna terhadap jenamanya, TCEC memulakan kempennya menerusi model komersial atau MPV bersaiz sederhana iaitu Renault Kangoo.


Kesungguhan itu dapat dilihat apabila Renault Kangoo kemudiannya dihasilkan dalam bentuk CKD pada tahun 2005. Sehingga kini, sebanyak 4,000 unit Kangoo telah berjaya dijual. Angka itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Renault sudah mempunyai asas pengikut yang semakin besar.




Mahu memeriahkan kembali ruang pamerannya dengan model-model baru yang lebih mengujakan, TCEC membawa masuk lima model yang sukar untuk dipandang sepi begitu sahaja.

Menyifatkan semua model baru itu sebagai Fabulous Five, ia terdiri daripada model Clio Hatchback, Megane Coupe Cabriolet, Grand Espace (MPV) dan dua model untuk mereka yang inginkan merasai sendiri prestasi sebenar jentera Perancis - apa lagi kalau bukan Clio RS 197 serta Mégane Renaultsport 230 Renault F1 Team R26 atau Megane R26.


Kesemua model ini nyata mengangkat nilai jenama Renault iaitu prestasi, gaya, individualiti dan keselamatan ke tahap tertinggi.

Perjalanan sejauh lebih 500 kilometer dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highland itu dimulakan dengan model Clio Hatchback berwarna putih yang cukup menawan.




Bagi peminat model hatchback, Clio menawarkan ciri yang turut dimiliki oleh kenderaan bersaiz dan berkapasiti enjin lebih besar. Merangkul anugerah European Car of The Year pada tahun 2006, Clio dikuasakan dengan enjin bersesaran 1.6 liter yang dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan.

Dengan reka bentuk luaran yang sporty dan moden, memandu Clio 1.6 di jalan sesak di Petaling Jaya sebelum memasuki lebuh raya mampu menyerlahkan karakter jentera ini.


Clio masih boleh dianggap sebagai sebuah hatchback yang tidak membosankan. Kuasa enjinnya tidak mengecewakan, walaupun sesekali pertukaran gear berlaku agak lambat bagi membolehkan hatchback ini mendapat momentum pecutan.

Ruang dalamannya pula memaparkan layout papan pemuka yang kemas dan ringkas. Dimonopoli oleh rona hitam pada setiap inci kemasannya, Clio terasa mewah dalam kesederhanaannya.


GRAND ESPACE


Memasuki jalan lama menuju ke Cameron Highland, penulis bertukar kepada model yang memang layak untuk menguji selekoh yang berselirat di sana. Memang direka untuk mereka yang gilakan prestasi, Clio RS memenuhi setiap ekspektasi yang diharapkan padanya.

Enjin dua liternya yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 197hp terasa cukup bertenaga. Lebih menarik lagi, enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang cukup mudah dikendalikan.

Dengan tujahan tork maksimum 215Nm, memotong kenderaan dan mendaki laluan berbukit terasa begitu mudah biarpun berada pada kedudukan gear empat atau lima.


Cuma, kadang-kadang jentera ini terasa mengalami sedikit oversteer terutamanya ketika mengambil selekoh tajam dalam kelajuan tinggi daripada biasa.

Jika Clio RS sudah memuaskan hati, keseronokan memandu bertambah apabila kaki mula memijak pedal minyak Megane R26. Untuk makluman, Megane F1 Team R26 dibangunkan oleh pihak Renault bagi meraikan kejayaan mereka dalam Kejohanan Dunia F1 bagi kategori pengeluar pada tahun 2005 dan 2006.


CLIO 1.6


Merupakan versi terbaru bagi model Mégane Renault Sport, Megane R26 nyata diberi suntikan elemen kereta sport sebenar. Pengendalian model ini nyata amat mengujakan, apatah lagi misi kali ini ialah menyusuri laluan mendaki Simpang Pulai yang sarat dengan selekoh-selekoh tajam.

Ciri pengendalian cemerlang ini banyak disumbangkan oleh penggunaan kerangka Cup yang hadir bersama rekaan 'lokasi' tempat duduk selain aspek limited slip differential yang ada padanya.

Nadi R26 terletak pada unit enjin 16 injap turbocharged yang berupaya menyediakan kuasa setinggi 230bhp. Kuasa tujahan dan respon enjinnya dapat dirasa hampir serta merta apabila jarum rpm mendaki dari angka 2,000 hingga 6,000 rpm.


Segala kuasa itu dieksploitasi sebaik mungkin menerusi kotak transmisi manual enam kelajuan (NDO). Menerusi sistem ekzos yang telah diubahsuai, bunyi enjin dapat didengar dengan agak ketara dari dalam kabin, membuatkan pedal minyak semakin galak ditekan.

Apalah gunanya prestasi tanpa kuasa membrek yang sewajarnya. Justeru, R26 ini dilengkapi dengan barisan sistem brek terbaik termasuklah ABS, EBD serta ESP (Electronic Stability Programme).

Biarpun dengan prestasi yang boleh membuatkan pemandu lupa untuk memandu perlahan, model ini tidak mengabaikan aspek penjimatan minyak. Bagi gabungan perjalanan di bandar dan lebuh raya, 100 kilometer hanya memerlukan sekitar 8.5 liter petrol.


Setelah menikmati hidangan menu Inggeris, lengkap dengan teh dan scones, perjalanan pulang ke Kuala Lumpur diiring dengan keselesaan yang ditawarkan oleh MPV Grand Espace.

Bila bercakap tentang MPV bersaiz penuh, masalah biasa yang sering diutarakan ialah kekurangan kuasa. Tetapi, masalah itu langsung tidak timbul ketika memegang stereng Grand Espace.


RANGKAIAN model CBU daripada TCEC mensasarkan jualan sebanyak 250 unit (kombinasi semua model) menjelang akhir tahun depan.


Terima kasih pada enjin empat silinder 16 injap dengan ciri Twin Scroll turbo yang memberikan tork sehingga 270Nm secara konsisten ketika jarum rpm berlegar sekitar 2,000 rpm. Hasilnya, dengan padanan transmisi automatik lima kelajuan, Grand space terasa seperti sebuah sedan dan bukannya seakan memandu sebuah bas mini.

Pertukaran terakhir untuk hari itu ialah model Renault paling bergaya, Megane Coupe Cabriolet. Sebabnya, Megane CC ini mengaplikasikan bumbung kaca automatik pertama di dunia yang boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 22 saat sahaja.


Namun, angan-angan untuk menghirup udara segar dan menunjuk-nunjuk kepada pengguna jalan raya yang lain terpaksa dilupakan kerana pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya.

Apa yang pasti, kelima-lima model terbaru Renault ini membawa gelombang baru kepada rangkaian model CBU daripada TCEC yang mensasarkan jualan sebanyak 250 unit (kombinasi semua model) menjelang akhir tahun depan.


SOURCE: KOSMO ONLINE

Saturday, October 11, 2008

SISTEM PENYEJUKAN KERETA

Sistem penyejukan - Nyawa sebuah enjin

Tanpa sistem penyejukan haba yang baik, bahang haba yang dikeluarkan oleh sebuah kereta boleh memanaskan ruang seluas dua buah rumah.


GRIL kereta-kereta moden kini direka dengan lebih efisien untuk kemasukan udara sejuk.


WALAUPUN enjin petrol dan diesel telah banyak berubah dan diperbaharui dengan berbagai teknologi tetapi masih tiada yang mampu beroperasi dengan efisien pada tahap 100 peratus terutamanya dalam menukarkan tenaga bahan kimia kepada tenaga mekanikal.


Ini kerana hampir 70 peratus tenaga dalam bahan kimia atau bahan api tersebut bertukar menjadi haba selain daripada menghasilkan tenaga untuk tujahan ketika proses mampatan dan pembakaran di dalam enjin.

Oleh kerana faktor inilah maka diwujudkan sistem penyejukan enjin untuk mengatasi masalah haba yang terhasil secara semula jadi ini.

Haba yang dihasilkan oleh enjin walaupun selepas dipasangkan dengan sistem penyejukan, sebuah kereta biasa sudah cukup untuk memanaskan ruang sebesar dua buah rumah.


SELAIN radiator, alat penyejuk minyak turut membantu kenderaan berprestasi tinggi menurunkan suhu dengan kadar yang lebih pantas.


Tugas utama sistem penyejukan adalah untuk memastikan enjin tidak akan terlebih panas (over heating) dengan memindahkan haba dari enjin ke bendalir dan kemudiannya ke penyahan haba melalui udara.


Hampir semua jenis enjin akan beroperasi dengan baik pada tahap kepanasan yang ideal (operating temperature). Jika enjin tersebut beroperasi dalam keadaan yang agak sejuk, komponen yang bergerak dan mengalami geseran di dalamnya akan lebih pendek jangka hayatnya dan kurang efisien serta mengeluarkan lebih banyak tahap pencemaran pada gas ekzos.

Memastikan enjin cepat panas setelah dihidupkan dan memastikan tahap kepanasan sentiasa di tahap yang ideal adalah antara tugas utama satu sistem penyejukan.


MATERIAL aluminium kini popular untuk menyerap haba.


Komponen yang mengendalikan tugas ini pula adalah termostat. Di dalam enjin, bahan api akan terbakar secara berterusan berdasarkan bilangan lejang dan silinder serta haba yang terhasil akan terus disalurkan pada sistem ekzos dan sebahagiannya di serap semula ke dalam enjin untuk memanaskan sedikit keadaan enjin dengan saluran sekunder daripada manifold ekzos ke kebuk kemasukan.


Kebanyakan enjin akan beroperasi dengan baik pada keadaan bendalir penyejuknya pada takat 93 darjah selsius. Pada tahap ini, ruang kebuk pembakaran akan cukup panas dan membolehkan pembakaran bahan api menjadi lebih lengkap dan sempurna untuk menghasilkan kuasa yang sebaik mungkin.

Keadaan minyak pelincir akan lebih cair atau tahap kelikatannya akan menurun sedikit dan ini akan membolehkan komponen enjin bergerak dengan kurang bebanan mekanikal serta boleh menjadi faktor penjimatan bahan api.

Begitu juga dengan komponen dan mekanikal yang bergerak akan kurang mengalami kadar geseran dan jangka hayat akan lebih lama.

Dua jenis sistem penyejukan yang digunakan secara meluas terhadap dunia automotif. Sistem penyejukan bendalir atau menggunakan air serta campuran kimia sebagai medium penyejukan dan sistem udara.

Sistem ini membolehkan bendalir melalui beberapa laluan liang pada bahagian blok enjin bermula daripada unit penukar / penyah haba iaitu radiator, melalui salur paip masuk ke enjin dan akan berkitar semula ke radiator untuk proses penyahan haba.



CORONG udara yang terdapat pada badan kenderaan membantu dari segi aerodinamik dan berupaya memerangkap udara sejuk.


Apabila air panas yang masuk ke radiator, haba akan di lepaskan melalui kepingan jejari liang halus yang terdapat pada struktur radiator.

Udara akan melalui ruang kepingan ini, ia akan menyahkan sekali haba yang ada pada kepingan tersebut dan dengan cara ini air di dalam liang tersebut akan dapat diturunkan habanya.

Kebanyakan sistem baru akan mempunyai kipas penyedut yang akan menyedut atau menolak udara secara deras ke radiator untuk tahap penyejukan yang lebih cekap dan berkesan.

Kaedah penyejukan berdasarkan medium udara pula, banyak diaplikasikan pada kereta-kereta lama. Selain menggunakan bendalir sebagai medium penyejukan, udara digunakan iaitu dengan menggunakan kipas yang menghembuskan udara melalui ruang blok enjin yang mempunyai kepingan aluminium yang nipis untuk menyahkan haba yang terhasil dari enjin.


Sistem penyejukan bendalir mempunyai beberapa komponen yang penting iaitu radiator, pam utama dan termostat. Pam utama bertindak menghasilkan tekanan terhadap bendalir agar dapat bergerak melalui kesemua laluan di dalam enjin serta masuk semula ke radiator.

Termostat pula berfungsi sebagai pintu yang akan terbuka dan tutup mengikut tahap kepanasan enjin. Pada keadaan enjin sejuk, termostat akan tertutup untuk membolehkan enjin panas dengan lebih cepat kepada tahap kepanasan yang baik untuk beroperasi.


SETIAP bendalir kenderaan wajib diperiksa setelah mencapai jarak maksimum untuk memanjangkan hayat enjin.


Setelah mencapai tahap tersebut, termostat akan terbuka untuk membolehkan air yang sejuk dari radiator masuk ke enjin menggantikan air yang telah panas yang seterusnya masuk semula ke radiator untuk mengulangi proses penyejukan. Termostat akan terbuka dan tutup mengikut keadaan kesesuaian tahap kepanasan enjin untuk menstabilkan tahap kepanasan yang ideal.

Kebanyakan enjin moden mempunyai rekaan yang didatangkan dengan sokongan penyejukkanoil cooler sama ada untuk sistem transmisi automatik ataupun untuk blok enjin.

Ia kerap digunakan terhadap enjin yang mampu menghasilkan kuasa yang agak besar berbanding pada sesarannya yang kecil.

Penggunaan unit oil cooler ini telah terbukti dan ia telah pun menjadi satu komponen asas yang mesti ada bagi mereka yang terlibat di dalam arena pengubahsuaian enjin kenderaan.


Selain menyokong penyejukan bendalir pelincir di dalam enjin ia juga membantu mengurangkan beban haba yang digalas oleh sistem penyejukan radiator.



SOURCE:  KOSMO ONLINE

Thursday, October 2, 2008

KUASA JIMAT MINYAK

Kuasa jimat minyak

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


SEBUAH kereta hibrid keluaran Toyota yang dipamerkan pada Asean Sumit Trade Exhibition 2005, di Kuala Lumpur.

Kereta guna teknologi hibrid lebih jimat minyak apabila enjin dijana dengan gabungan petrol dan motor elektrik 


SETIAP kali krisis minyak berlaku, idea menghasilkan kereta yang dapat menjimatkan penggunaan bahan api timbul. 

Tidak ada bezanya dengan krisis yang berlaku sekarang apabila kereta hibrid muncul sebagai antara pilihan untuk menjimatkan penggunaan minyak. Berbanding kereta solar dan hidrogen, kereta hibrid bukan lagi suatu idea di atas kertas dan bersifat penyelidikan, tetapi meluncur di jalan raya apabila dikeluarkan secara komersial.



Kelebihan utama kereta hibrid ialah menjimatkan minyak. Mengikut Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat pada 2007, Toyota Prius, yang menggunakan satu liter bahan api mampu pergi antara 21 hingga 25 kilometer (km), bergantung kepada pemanduan di lebuh raya atau bandar. 

Kebanyakan kereta di Malaysia, satu liter hanya dapat meliputi perjalanan antara lapan hingga 12 km. 



Kini, istilah kereta hibrid menjadi semakin biasa. Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azhar Abdul Aziz, mendefinisikan kereta hibrid sebagai kenderaan yang menggunakan dua atau lebih punca tenaga yang berbeza reka bentuk untuk membolehkan bergerak di atas jalan raya.



Kebiasaannya kereta hibrid bermaksud gabungan enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) dan motor elektrik (electric motor). 

Ramai menyangka kereta hibrid adalah perkara baru, tetapi teknologi ini sebenarnya dimajukan sejak lebih 100 tahun lalu. 

Sejarah kereta hibrid bermula apabila Dr Ferdinand Porsche, mencipta kereta hibrid pertama, kereta elektrik petrol, Mixte atau nama panggilannya, Aunt Eulalia, tetapi nama rasminya ialah Semper Vivus yang bermaksud sentiasa hidup. 



Kereta ini menggunakan enjin petrol yang silih berganti pada kelajuan tetap untuk menjana dinamo yang mengecas akumulator untuk memberikan kuasa kepada motor elektrik di roda depan.

DR Azhar menunjukkan enjin hibrid yang menjadi kajian di UTM.

Idea kereta hibrid zaman moden boleh dijejaki ketika krisis minyak pada 1973 dan 1979 yang menyebabkan Amerika Syarikat, mengambil inisiatif melakukan penyelidikan terhadap teknologi hibrid. Ini juga menyebabkan pengeluar kereta terbesar dunia, General Motor, ketika itu membelanjakan lebih RM65 juta terhadap penyelidikan dan pembangunan kereta hibrid. 

Pengeluar kereta di benua lain tidak ketinggalan, terutama di negara maju yang isu alam sekitar mendapat perhatian serius. 

Pengeluar kereta utama Jerman, Volkswagen, memperkenalkan teksi Microbus hibrid, manakala Di Jepun, pengeluar kereta nombor satu, Toyota membina prototaip enjin hibrid dan Mazda, mengeluarkan trak enjin hibrid, Titan. 

Selepas banyak wang dicurahkan dan jurutera kereta memerah otak, pengeluar kereta nombor satu Jepun mendahului pengeluaran kereta hibrid secara komersil. Pertengahan 1997, Toyota memperkenalkan kereta hibrid pertama, Prius, untuk pasaran tempatan negara itu. 

Honda tidak mahu ketinggalan dan melancarkan Honda Insight, kereta hibrid dua tempat duduk pada 1999 untuk pasaran Amerika Syarikat, diikuti kemasukan Prius ke negara itu tidak lama kemudian. Pada 2003, Honda memperkenalkan Honda Civic Hybrid yang menyamai Honda Civic konvensional. 

Ketika pengeluar Jepun semakin ke depan, syarikat kereta Amerika Syarikat, Ford, pada 2004 melancarkan Ford Escape Hybrid, kenderaan hibrid pertama Amerika Syarikat dan juga SUV hibrid pertama dunia. 

Selepas itu semua menjadi sejarah. Pengeluar kereta terkemuka dunia kini menjadikan pengeluaran kereta hibrid sebagai keutamaan. 



INFO 

Komponen asas kereta hibrid 



Enjin 

Tangki bahan api
 

Motor elektrik - Komponen juga boleh berfungsi sebagai generator. 

Bateri - Berfungsi menyimpan kuasa bagi kegunaan motor elektrik. 

Sistem transmisi - Berfungsi sama seperti kenderaan biasa menggunakan enjin pembakaran dalam. 

  • Varisasi Kereta Hibrid 

    Susunan selari
     

    Sistem ini banyak digunakan pengeluar kereta gergasi dunia. Ia adalah enjin pembakaran dalam dan sebuah motor elektrik yang disambung ke sebuah sistem transmisi. Kebanyakan sistem begini menggabungkan jana kuasa elektrik besar dan sebuah motor elektrik dalam satu unit. 

    Starter motor dan alternator tidak digunakan. Untuk menyimpan kuasa, ia menggunakan bateri bersaiz besar untuk menyimpan voltan yang lebih besar daripada biasa, iaitu 12 Volt. Peralatan lain seperti stering kuasa (power steering) dan penghawa dingin memperoleh kuasa daripada motor elektrik. 

    Susunan bersiri 

    Sistem ini menyerupai sistem kereta elektrik berbateri daripada kereta berpacuan enjin pembakaran dalam. Enjin memacu generator elektrik dan tidak menyalurkan kuasa terus ke roda kereta. Generator yang tersedia mengecas bateri dan membekal pusa kepada motor elektrik yang menggerakkan kenderaan. 

    Apabila kuasa yang besar diperlukan, motor elektrik menyedut kuasa elektrik daripada bateri dan generator. Sistem transmisi tidak diperlukan. Terdapat juga reka bentuk yang memperuntukkan satu motor elektrik untuk satu tayar bagi sistem begini. 

    Sistem bersiri boleh dipasang dengan bateri jenis penyimpan kuasa elektrik super (supercapacitor) atau roda tenaga (flywheel) untuk menyimpan tenaga yang ditebus guna ketika menghentikan (brek) kenderaan. Proses ini meningkatkan kecekapan kenderaan keseluruhannya. 

    Susunan kombinasi selari dan bersiri 

    Sistem ini mempunyai alat pemisah kuasa (power-split) membolehkan kuasa dipindah daripada punca ke hiliran secara mekanikal atau elektrik. 

    Prinsip asas di sebalik sistem ini ialah kebolehan untuk memisahkan kuasa (decoupling) yang dibekalkan oleh enjin (atau punca lain) daripada kuasa yang diperlukan oleh pemandu. 

    Dalam kenderaan konvensional, enjin bersaiz besar diperlukan untuk menghasilkan pecutan daripada keadaan pegun ke keadaan laju akibat daya kilas enjin adalah rendah pada halaju rendah. Sebaliknya, motor elektrik mempamerkan daya kilas tinggi pada halaju rendah yang membantu enjin yang mempunyai kecekapan rendah pada halaju rendah


  • SOURCE:   http://www.bharian.com.my