Thursday, March 5, 2009

BATU KARANG HEMPEDU

Oleh: Shafinaz Sheikh Maznan, Utusan Malaysia

Dr. Abd. Hamid Mat Sain
Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan


Hati menghasilkan hempedu - sejenis cecair berwarna coklat kehijauan yang mengandungi garam hempedu, cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.

Cecair pekat ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda. Apabila makan, pundi hempedu anda akan mengecut dan membebaskan hempedu melalui duktus sistik dan memasuki duktus hempedu biasa.Kemudian, duktus hempedu ini akan membawa hempedu ke bahagian atas usus kecil (duodenum) di mana ia akan mula memecahkan lemak dalam makanan anda.


Bagaimanapun, menurut Dr. Abd. Hamid Mat Sain, jika hempedu anda tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk menjadi partikel keras dan seterusnya menjadi batu karang."Proses ini akan mengambil masa selama beberapa tahun.


Saiz batu karang hempedu ini adalah sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf yang licin serta bulat atau tidak tentu bentuknya dengan permukaan yang kasar."Anda mungkin mempunyai seketul atau beratus-ratus ketul batu karang hempedu di dalam tubuh anda," kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu.


Seperti kebanyakan orang yang pernah menghidap penyakit batu karang hempedu, anda juga boleh mengalaminya tanpa sedar kerana ia boleh hadir tanpa sebarang simptom atau memerlukan rawatan perubatan.Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu ini agak tinggi.


Simptom-simptom


Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen.


Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen, kata Dr. Abd. Hamid."Ini mungkin menandakan serangan penyakit batu karang hempedu akan berlaku.


Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam.Selalunya, rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam.

Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, akan menular ke belakang atau bahu kanan," jelasnya.


Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih. Serangan batu karang hempedu tidak menentu. Ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan bulan atau bertahun-tahun lamanya.

Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas.Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera.


Tambah Dr. Abd. Hamid, ada ketikanya, batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui duktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil (duktus hempedu biasa). Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas.


"Terdapat beberapa kes di mana ketulan batu karang mungkin tersumbat dan menyekat duktus, mengakibatkan komplikasi yang dikenali sebagai pankreatitis. Besar kemungkinan anda akan mengalami kesakitan dan demam disebabkan pembengkakan di kawasan tersebut.


Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengancam nyawa," katanya.Beberapa tanda dan simptom duktus hempedu yang tersumbat termasuklah kulit yang kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam panas dan sejuk.


"Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu - sakit di bahagian abdomen, warna kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap, dan demam panas dan sejuk - sila dapatkan penjagaan kecemasan."Perlu juga diingatkan bahawa ada waktunya, anda akan mengalami jaundis dan perubahan pada warna air kencing dan najis tanpa kesakitan atau senak yang teruk.


Ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda perasan perubahan warna itu," terang Dr. Abd. Hamid.Faktor-faktor Risiko Batu karang hempedu merupakan suatu penyakit yang diwarisi secara turun-temurun dan tidak dapat dihalang pembentukannya.


Faktor-faktor lain mungkin meningkatkan risiko penyakit ini seperti:

Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki.

Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat.


Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekali gus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu.

Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.

Jenis-jenis batu karang hempedu

Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang hempedu yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa-sisa sel darah merah yang lemah).

Sebanyak 80 peratus batu karang hempedu adalah batu kolesterol.

Batu karang hempedu berpigmen. Batu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan.
Batu karang hempedu duktus primer.

Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku.

DiagnosisDr. Abd. Hamid memberitahu, kebanyakan batu karang hempedu lebih-lebih lagi yang tidak menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom, dikesan sewaktu ujian dijalankan - termasuk ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer - yang dilakukan atas sebab-sebab lain.

"Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom penyakit batu karang hempedu, doktor anda akan mengesyaki anda mempunyai penyakit tersebut berdasarkan latar belakang perubatan keluarga anda dan pemeriksaan fizikal.


"Sewaktu pemeriksaan tersebut, doktor anda akan memeriksa jaundis di kulit atau keputihan di mata anda dan abdomen anda akan diperiksa secara palpasi untuk melihat sama ada ia akan terasa sakit apabila disentuh."Jika doktor anda mengesyaki anda menghidapi penyakit batu karang hempedu, anda mungkin terpaksa melakukan ujian darah untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal, atau bilirubin yang berlebihan.


Rawatan

Doktor-doktor sering kali menemui 'batu-batu senyap' ini sewaktu pemeriksaan kesihatan yang rutin untuk mengesan penyakit lain dan selalunya, pesakit disarankan untuk 'tunggu dan lihat' daripada merawat.

Walau bagaimanapun, jika batu karang hempedu anda menunjukkan simptom-simptom, terdapat rawatan pembedahan dan bukan pembedahan yang boleh dilakukan.

Pembedahan


Pembedahan laparoskopik kolesistektomi. Kebanyakan surgeri pundi hempedu dijalankan menggunakan laparoskop – sejenis tiub senipis pensel dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.

Hanya beberapa insisi kecil akan dilakukan. Anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari.
Pembedahan terbuka. Pundi hempedu akan dikeluarkan melalui insisi besar di abdomen.


Selepas surgeri dilakukan, hati anda akan terus menghasilkan hempedu yang secukupnya untuk mencernakan diet yang normal.Bukan pembedahanBatu-batu karang akan terbentuk berulang kali apabila rawatan bukan surgikal dilakukan.

Walau bagaimanapun, apabila surgeri bukanlah pilihan utama si pesakit, doktor anda akan mencadangkan salah satu daripada pilihan berikut:

Pil garam hempedu. Doktor akan menyarankan pengambilan ubat ursodial (Actigall), yang akan melarutkan batu-batu kolestrol dalam beberapa waktu yang ditetapkan.

Rawatan ini sesuai dilakukan untuk batu-batu karang yang kecil.


Terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal).

Rawatan ini menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk memecahkan batu-batu karang. Batu-batu karang akan terbentuk kembali melainkan jika anda mengambil ursodial secara berterusan.


SOURCE: http://e-kesihatan.blogspot.com

2 comments:

  1. Great web ѕite уоu have hеre.
    . It's difficult to find good quality writing like yours nowadays. I seriously appreciate individuals like you! Take care!!

    Feel free to visit my web page :: sensual massage in London
    Stop by my web site ... erotic massage

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ni :)

    ReplyDelete