Saturday, December 27, 2008

MPV FUTURISTIK

MPV futuristik

Dengan rekaan luar yang lebih dinamik, tunggu hingga anda menjengah masuk ke dalam kabinnya. Pasti anda terpesona.




RAMAI beranggapan, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membuat pelaburan melibatkan jumlah wang yang banyak. Apatah lagi jika pembelian itu melibatkan tempoh pinjaman bertahun-tahun lamanya.

Dalam kesuraman ekonomi dunia yang kian menular, industri automotif nampaknya mula menerima kesannya. Kunjungan saya ke sebuah pusat pameran kereta baru-baru ini sempat mendengar keluhan seorang jurujual yang menyatakan jualan mulai lembab sejak bulan Oktober lagi.

Untuk meningkatkan semula keterujaan orang ramai memiliki kereta baru, banyak pengeluar menawarkan pelbagai promosi yang jarang dilihat sebelum ini.

Namun, bukan semua orang berada dalam keadaan sukar. Malah, mungkin ada segelintir yang tetap memerlukan sebuah kenderaan baru untuk menampung jumlah anggota keluarga yang kian bertambah.


LAMPU belakang yang diletakkan dalam perumah berwarna jernih.


Jika anda orangnya, kenderaan ini wajar diberi pertimbangan untuk dimiliki. Model yang diimport sepenuhnya dari Perancis ini sudah mula berada di pasaran sejak Ogos lalu dan menerima sambutan yang memberangsangkan.

Citroen Grand C4 Picasso ini menjanjikan sesuatu yang mungkin tidak boleh anda peroleh daripada sebuah jentera MPV bersaiz penuh keluaran Jepun atau Korea dalam banyak segi.

Di pasaran Eropah, Citroen memasarkan tiga varian yang memegang nama Picasso iaitu Xsara Picasso lima tempat duduk, Grand C4 Picasso dengan kapasiti tujuh tempat duduk dan C4 Picasso, lima tempat duduk.

Berbanding model MPV yang ditawarkan sebelum ini, Citroen Grand C4 Picasso dilihat lebih bersedia untuk memenuhi ekspektasi dan keperluan bakal pembelinya.


INILAH tempat duduk baris ketiga yang ada dalam Grand C4 Picasso.


Fizikal jentera ini nampak lebih matang, bersegi dan tidak terlalu bulat seperti model Xsara Picasso. Bahagian hadapannya mengekalkan signatur kenderaan buatan Citroen dengan emblemnya memanjang pada hujung hudnya.

Panel sisi di bahagian depan ini diperbuat daripada plastik mudah lentur tetapi tahan lasak. Jadi, tidak perlu bimbang jika terlanggar sesuatu kerana ia akan kembali ke bentuk asal tanpa sebarang kesan lekukan.

Bahagian belakang model ini dihias dengan sepasang lampu yang lebar, cukup jelas untuk dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain. Sepasang roof rail di atas bumbungnya menambah gayanya yang rugged.

Dipasang dengan cermin utama paling besar yang pernah ada pada sebuah kenderaan produksi, anda akan bersetuju bahawa ruang kokpit Grand C4 Picasso ini terasa begitu luas.


LAMPU ini boleh dicabut untuk berfungsi sebagai lampu suluh.


Bukan setakat cermin hadapan, malah cermin pada tiang A juga luar biasa besarnya. Ini bagi membolehkan titik buta lokasi itu dihilangkan semaksimum mungkin.

Tidak cukup? Bumbung panoramanya boleh dibuka hampir ke seluruh bahagian belakangnya. Mungkin boleh jadi kurang sesuai untuk cuaca Malaysia yang panas, tetapi ia cukup untuk membolehkan cahaya masuk ke dalam kabin dan memberi peluang kepada anda melihat 'bulan dan bintang' pada waktu malam.

Kabin ini juga menawarkan rekaan dalaman yang futuristik. Konsol tengah yang latarnya boleh ditukar dengan lima warna memaparkan segala maklumat penting pemanduan.

Antaranya ialah kadar dan purata penggunaan minyak, tarikh, saluran radio yang sedang didengar, jarum rpm serta kelajuan, semuanya dipaparkan dalam angka digital dan dapat dilihat dengan jelas.

Unit yang dipandu uji ini turut memiliki ciri Bluetooh pada sistem audionya yang boleh disambungkan terus dengan telefon bimbit anda. Pada waktu malam, lampu ambien pula membuatkan ruang ini terasa lebih mewah.

Anda pasti teruja apabila memegang stereng yang bahagian tengahnya tidak bergerak ketika dipusing. Ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri kerana kadangkala tangan tersentuh pada butang kawalan saluran radio dan menukar saluran yang sedang didengar secara tidak sengaja.

Tidak seperti MPV yang lain, tuil gearnya diletakkan di bahagian atas stereng. Dengan hanya menolak sebatang plastik yang nipis, anda boleh menukar gear dengan menggunakan hujung jari.

Anda juga tidak akan berjumpa dengan tuil brek tangan, kerana ia sudah digantikan dengan brek tangan elektrik yang berfungsi sebaik sahaja gear dimasukkan ke dalam mode 'P' dan enjin dimatikan.


PAPARAN papan pemutar yang ringkas dan mudah mesra pengguna.


Tidak mahu bersusah payah untuk memasang lampu ketika hari sudah gelap dan mahu pengelap cermin terus berfungsi apabila hujan? Setkan sahaja mode automatik pada kedua-dua ciri ini pada suis kawalannya yang ada pada tuil di sebelah kiri dan kanan stereng.

Selain pemandu, tiap penumpang kini boleh mengubah suhu dan kelajuan kipas pendingin mengikut keselesaan masing-masing.

Dikuasakan oleh unit enjin petrol bersesan dua liter, ia boleh dikatakan sebagai memadai untuk mengheret tubuh Citroen Grand C4 Picasso tanpa sebarang masalah.

Satu lagi ciri menarik yang ada pada model ini ialah lampu di barisan tempat duduk ketiga ini boleh dicabut dan digunakan seperti lampu suluh. Apabila diletakkan kembali, baterinya akan dicas secara automatik.

Pada tanda harga RM169,028 seunit, Citroen Grand C4 Picasso sememangnya memiliki banyak kelebihan yang tidak ada banyak kebanyakan MPV lain di pasaran.


source: kosmo online

No comments:

Post a Comment