Tuesday, September 9, 2008

CEGAH SERANGAN JANTUNG

Alternatif cegah serangan jantung




SETIAP tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung. Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.


Namun kini, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung dan setiap tahun, 500 kematian direkodkan.


Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung.

Menurut Pakar Kardiologi dari Pusat Perubatan Pantai di Bangsar, Dr. David Quek, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia yang dianggarkan meragut 17.5 juta nyawa setiap tahun.


"Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko menghidap serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat negatif seperti merokok.

"Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.


"Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu. Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya," kata Dr. Quek dalam satu pembentangan khas mengenai alternatif rawatan penyakit jantung menerusi pengambilan suplemen berasaskan beras yis merah (BYM) baru-baru ini.


DR. QUEK ketika membentangkan khasiat beras yis merah di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambah Quek, pengambilan BYM ini boleh dijadikan alternatif dalam mencegah penyakit yang berkaitan dengan sistem kardiovaskular manusia.


Malah ujarnya, jika diambil berterusan, ia mampu menurunkan tahap kolesterol LDL (kolesterol tidak baik) dan meningkatkan kadar kolesterol HDL (kolesterol baik) serta merangsang kesihatan sistem jantung.


Apa itu BYM? Mungkin ramai kurang arif mengenainya atau tidak tahu langsung mengenai kewujudan produk botani ini. Sebenarnya BYM telah digunakan di China sejak berabad-abad lalu. Sejak zaman kuno lagi, BYM telah dikenali sebagai sumber makanan perubatan.

Di samping itu, ia juga telah digunakan sebagai bahan pewarna dalam masakan China sejak lebih 1,000 tahun lalu. Malah, serbuk BYM turut menjadi ramuan bagi menyediakan sajian terkenal masyarakat China, itik Peking.


Menariknya, ramai yang tidak sedar dengan menjamu sajian istimewa itu, mereka sebenarnya mengurangkan risiko menghidap hiperlipidemia atau paras kolesterol yang tinggi. Risiko itu dapat dikurangkan bukan kerana memakan daging itik, tetapi ramuan serbuk berwarna merah, BYM yang disapu pada keseluruhan badan itik sebelum dibakar untuk menyediakan hidangan tersebut.


Selain itu, turut direkodkan bahawa BYM pernah dijadikan ubat untuk rawatan kecelaruan peredaran darah sejak zaman Dinasti Ming (1368-1644) lagi.


Bagaimana BYM terhasil? Adakah memang terdapat beras merah yang ditanam di sesuatu kawasan khas seperti di China. Hakikatnya tidak sama sekali. BYM sebenarnya terhasil daripada penapaian sejenis yis yang dikenali sebagai Monascus purpureus yang sering digunakan secara tradisional oleh orang Cina untuk merawat masalah penghadaman, cirit-birit dan sakit perut dengan beras biasa.


BERAS yis merah telah lama digunakan sebagai sumber makanan perubatan di China.


Penggunaan BYM kini telah diakui sebagai salah satu bahan alternatif dalam mengurangkan kolesterol selepas satu penyelidikan luas mengenai khasiatnya disiarkan dalam American Journal of Cardiology (AJC), sebuah jurnal berkaitan kardiovaskular terkenal di dunia pada pertengahan Jun lalu.


"Terbaru, hasil kajian yang disiarkan dalam AJC itu membuktikan bahawa bahan monacolin yang terdapat dalam BYM diakui keberkesanannya untuk menurunkan kadar kolesterol dan lain-lain penyakit jantung yang berpunca daripada tahap kolesterol yang tinggi," kata Dr. Quek lagi.

Bagaimanapun, Dr. David M. Capuzzi dari Thomas Jefferson University di Philadelphia yang mengetuai kajian tersebut berkata, walaupun semua hasil kajian memberangsangkan, tetapi orang ramai tidak boleh terus mula membeli dan memakan BYM untuk mencegah serangan jantung.


"BYM yang dijual di pasar raya atau kedai makanan kesihatan bukan sepenuhnya asli. Persiapan bahan-bahan (yang digunakan dalam kajian) dibuat oleh syarikat biotech yang dikawal dengan teliti adalah mengikut keperluan makmal. Jadi keasliannya terjamin.

"Berlainan dengan BYM yang dihasilkan oleh syarikat biasa, ia mungkin meninggalkan kesan negatif kepada pengguna seperti kesakitan otot, kekejangan dan sebagainya kerana tidak mengikut prosedur penghasilan sebenar.


"Jika mahu mengambil BYM sebagai suplemen perubatan, mereka perlu membeli produk BYM yang dihasilkan oleh syarikat biotech terkemuka yang dijamin keaslian mutunya bagi mengelak kesan buruk setelah mengambilnya," ujar Capuzzi dalam laporan jurnal tersebut.


Dalam kajian tersebut, hampir 5,000 orang di China yang pernah mengalami serangan jantung serta mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, dipilih untuk menerima kapsul mengandungi BYM dan pengambilan plasebo (ubat kosong yang digunakan untuk tujuan kajian).


BAHAN monacolin yang terdapat dalam beras yis merah berkesan menurunkan kadar kolestrol.


Kapsul BYM yang diberi kepada pesakit mengandungi kombinasi lovastatin, lovastatin hydroxyl acid, ergosterol dan lain-lain komponen. Sepanjang lima tahun tempoh kajian ini berlangsung, penyelidik mendapati bahawa 10.4 peratus yang mengambil plasebo mengalami serangan jantung kedua berbanding 5.7 peratus pesakit yang dibekalkan dengan kapsul BYM.


Berdasarkan penemuan tersebut, Dr. Quek menegaskan bahawa pengambilan suplemen berasaskan BYM secara tidak langsung membantu mengurangkan paras kolesterol dalam tubuh seseorang sekali gus menghindarkan diri daripada mengalami penyakit berkaitan jantung.


SOURCE: http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Post a Comment