Showing posts with label STROK. Show all posts
Showing posts with label STROK. Show all posts

Tuesday, September 9, 2008

CEGAH SERANGAN JANTUNG

Alternatif cegah serangan jantung




SETIAP tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung. Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.


Namun kini, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung dan setiap tahun, 500 kematian direkodkan.


Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung.

Menurut Pakar Kardiologi dari Pusat Perubatan Pantai di Bangsar, Dr. David Quek, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia yang dianggarkan meragut 17.5 juta nyawa setiap tahun.


"Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko menghidap serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat negatif seperti merokok.

"Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.


"Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu. Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya," kata Dr. Quek dalam satu pembentangan khas mengenai alternatif rawatan penyakit jantung menerusi pengambilan suplemen berasaskan beras yis merah (BYM) baru-baru ini.


DR. QUEK ketika membentangkan khasiat beras yis merah di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambah Quek, pengambilan BYM ini boleh dijadikan alternatif dalam mencegah penyakit yang berkaitan dengan sistem kardiovaskular manusia.


Malah ujarnya, jika diambil berterusan, ia mampu menurunkan tahap kolesterol LDL (kolesterol tidak baik) dan meningkatkan kadar kolesterol HDL (kolesterol baik) serta merangsang kesihatan sistem jantung.


Apa itu BYM? Mungkin ramai kurang arif mengenainya atau tidak tahu langsung mengenai kewujudan produk botani ini. Sebenarnya BYM telah digunakan di China sejak berabad-abad lalu. Sejak zaman kuno lagi, BYM telah dikenali sebagai sumber makanan perubatan.

Di samping itu, ia juga telah digunakan sebagai bahan pewarna dalam masakan China sejak lebih 1,000 tahun lalu. Malah, serbuk BYM turut menjadi ramuan bagi menyediakan sajian terkenal masyarakat China, itik Peking.


Menariknya, ramai yang tidak sedar dengan menjamu sajian istimewa itu, mereka sebenarnya mengurangkan risiko menghidap hiperlipidemia atau paras kolesterol yang tinggi. Risiko itu dapat dikurangkan bukan kerana memakan daging itik, tetapi ramuan serbuk berwarna merah, BYM yang disapu pada keseluruhan badan itik sebelum dibakar untuk menyediakan hidangan tersebut.


Selain itu, turut direkodkan bahawa BYM pernah dijadikan ubat untuk rawatan kecelaruan peredaran darah sejak zaman Dinasti Ming (1368-1644) lagi.


Bagaimana BYM terhasil? Adakah memang terdapat beras merah yang ditanam di sesuatu kawasan khas seperti di China. Hakikatnya tidak sama sekali. BYM sebenarnya terhasil daripada penapaian sejenis yis yang dikenali sebagai Monascus purpureus yang sering digunakan secara tradisional oleh orang Cina untuk merawat masalah penghadaman, cirit-birit dan sakit perut dengan beras biasa.


BERAS yis merah telah lama digunakan sebagai sumber makanan perubatan di China.


Penggunaan BYM kini telah diakui sebagai salah satu bahan alternatif dalam mengurangkan kolesterol selepas satu penyelidikan luas mengenai khasiatnya disiarkan dalam American Journal of Cardiology (AJC), sebuah jurnal berkaitan kardiovaskular terkenal di dunia pada pertengahan Jun lalu.


"Terbaru, hasil kajian yang disiarkan dalam AJC itu membuktikan bahawa bahan monacolin yang terdapat dalam BYM diakui keberkesanannya untuk menurunkan kadar kolesterol dan lain-lain penyakit jantung yang berpunca daripada tahap kolesterol yang tinggi," kata Dr. Quek lagi.

Bagaimanapun, Dr. David M. Capuzzi dari Thomas Jefferson University di Philadelphia yang mengetuai kajian tersebut berkata, walaupun semua hasil kajian memberangsangkan, tetapi orang ramai tidak boleh terus mula membeli dan memakan BYM untuk mencegah serangan jantung.


"BYM yang dijual di pasar raya atau kedai makanan kesihatan bukan sepenuhnya asli. Persiapan bahan-bahan (yang digunakan dalam kajian) dibuat oleh syarikat biotech yang dikawal dengan teliti adalah mengikut keperluan makmal. Jadi keasliannya terjamin.

"Berlainan dengan BYM yang dihasilkan oleh syarikat biasa, ia mungkin meninggalkan kesan negatif kepada pengguna seperti kesakitan otot, kekejangan dan sebagainya kerana tidak mengikut prosedur penghasilan sebenar.


"Jika mahu mengambil BYM sebagai suplemen perubatan, mereka perlu membeli produk BYM yang dihasilkan oleh syarikat biotech terkemuka yang dijamin keaslian mutunya bagi mengelak kesan buruk setelah mengambilnya," ujar Capuzzi dalam laporan jurnal tersebut.


Dalam kajian tersebut, hampir 5,000 orang di China yang pernah mengalami serangan jantung serta mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, dipilih untuk menerima kapsul mengandungi BYM dan pengambilan plasebo (ubat kosong yang digunakan untuk tujuan kajian).


BAHAN monacolin yang terdapat dalam beras yis merah berkesan menurunkan kadar kolestrol.


Kapsul BYM yang diberi kepada pesakit mengandungi kombinasi lovastatin, lovastatin hydroxyl acid, ergosterol dan lain-lain komponen. Sepanjang lima tahun tempoh kajian ini berlangsung, penyelidik mendapati bahawa 10.4 peratus yang mengambil plasebo mengalami serangan jantung kedua berbanding 5.7 peratus pesakit yang dibekalkan dengan kapsul BYM.


Berdasarkan penemuan tersebut, Dr. Quek menegaskan bahawa pengambilan suplemen berasaskan BYM secara tidak langsung membantu mengurangkan paras kolesterol dalam tubuh seseorang sekali gus menghindarkan diri daripada mengalami penyakit berkaitan jantung.


SOURCE: http://www.kosmo.com.my/

Monday, August 25, 2008

IMAM SAKSI SUMPAH SAIFUL DAKWA TIDAK SAH

Muncul kempen Anwar, imam saksi sumpah Saiful dakwa tidak sah


25-08-2008 05:13:52 AM
Oleh G. MANIMARAN


MOHD. Saiful Bukhari Azlan bersalam dengan Ustaz Ramlang Porigi selepas menyempurnakan upacara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu.

RAMLANG Porigi membuat pengakuan kira-kira enam minit pada ceramah kempen pilihan raya anjuran Pakatan Rakyat di Padang Ibu, Penanti, Permatang Pauh malam tadi.


(Dikemas kini) PERMATANG PAUH: Dilihat sebagai satu lagi kejutan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lalu, Ustaz Ramlang Porigi muncul di Masjid Perda di sini malam tadi, yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Imam itu membuat pengakuan yang dia telah 'dipaksa' menjadi saksi dan mubahalah dibuat Saiful tidak sah.


Turut hadir di masjid tersebut ketika itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS, yang awal-awal lagi telah menegaskan cara Saiful bersumpah adalah salah.


Ramlang berbuat demikian selepas solat maghrib - salah satu acara Anwar pada hari kesembilan berkempen.

Esok ialah hari pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.


Saiful membuat sumpah sehari sebelum hari penamaan calon di Masjid Wilayah Persekutuan.

Ini merupakan kali pertama Ramlang muncul di khalayak ramai selepas menjadi saksi sumpah laknat Saiful.


Selain di Masjid Perda, Ramlang juga menjelaskan pendiriannya dalam ceramah kempen Anwar, calon Pakatan Rakyat, di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan kemudian di Padang Ibu, Penanti.

Dalam kenyataan di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Rakyat di Padang Ibu pada pukul 11.15 malam Ramlang berkata, "pada hari itu (15 Ogos) saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."


"Sumpah itu bukan saya yang aturkan, teksnya disediakan oleh peguamnya atau mungkin ada orang lain yang buat itu," katanya dalam kenyataan kira-kira enam minit.

Ramlang yang muncul dalam pakaian biasa malam tadi, bukannya berpakaian sebagai seorang imam secara berseloroh berkata, beliau kelihatan kemas pada 15 Ogos kerana baru sahaja habis menyempurnakan majlis nikah satu pasangan di Masjid Wilayah Persekutuan.


Tambah beliau: "Apabila dia (Saiful) membacakan teks, dia seolah-olah tidak merasa bersalah.

"Kalau kita seorang Islam yang beriman, kalau kita nak bersumpah ini, kita akan takut apa akan terjadi... tetapi kerana teks ucapan yang dibacakan itu, dia tak rasa bersalah."


Katanya lagi, disebabkan teks itu disediakan dalam tulisan rumi, maka sebutan adalah salah dan tarikh perbuatan dia diliwat juga salah.


"Sepatutnya dia sebut 26 Jun, tetapi dia sebut 28 Ogos," katanya yang menegaskan dirinya seorang imam, bukan bilal.

"Saya rasa para pengundi di Permatang Pauh, mungkin ada yang mengenali saya. Jadi, saya berharap jangan saya dipersalahkan... boleh tak," katanya lagi.

Selepas kenyataan itu Ramlang terus dibawa keluar dari tempat ceramah dan diberikan perlindungan oleh Pakatan Rakyat demi keselamatannya.


Dimaklumkan bahawa imam itu akan mengadakan sidang media kira-kira 12.30 tengah malam di Yayasan Aman tetapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak sertai bersama.

mstar Online difahamkan Ramlang berada bersama rombongan PKR sejak pukul 4 petang semalam.

Sementara ketika ditanya mengapa bertindak membuat pengakuan mengejutkan, Ramlang berkata, beliau berhadapan dengan tekanan ekoran pelbagai melemparkan macam-macam tuduhan yang tidak sepatutnya diterima oleh seorang imam.


"Saya mendapati tiada siapa yang tampil mempertahankan diri saya," katanya.

"Saya dikatakan kurang ajar. Adakah patut saya dicaci," tambah Ramlang pada sidang media yang dihadiri beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Yayasan Aman di sini.

Ketika sidang media Anwar baru tiba di Yayasan Aman dan bermesyuarat di tingkat satu pejabat yayasan itu.


Menafikan menerima sebarang ganjaran daripada Pakatan Rakyat, Ramlang berkata, beliau bersedia untuk menerima apa juga tindakan - daripada kerajaan dan Umno - selepas ini.

Katanya, beliau masih merupakan kakitangan kerajaan dan akan terus berkhidmat sebagai imam jika tidak dipecat.


Beliau menyerahkan kepada Umno untuk mengambil tindakan ke atasnya. Beliau menjadi ahli Umno sekitar tahun 2003.

"Boleh katakan saya ahli Umno... saya cuma menjadi ahli Umno kerana hendak tolong kawan," katanya yang akan keluar mengundi esok kerana ia hak beliau untuk berbuat demikian.

"Saya tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak... PKR sendiri yang jemput untuk (saya) membuat pengakuan," katanya.


Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata, imam berkenaan sendiri yang menghubungi pihaknya memaklumkan bahawa mahu membuat pengakuan mengenai isu tersebut.

"Kami hanya dihubungi beliau (Ramlang) petang ini dan kami setuju," katanya.

Empat hari lalu beliau mengesahkan kepada mStar Online bahawa beliau merupakan ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843.


Ketika dihubungi mStar Online, Ramlang berkata, beliau merupakan imam yang sah dan bertauliah.

Beliau tidak menafikan dirinya merupakan seorang ahli Umno yang berdftar dan pengundi di Permatang Pauh.

Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.


Risalah yang diedarkan menyebut beliau bukan merupakan imam sebaliknya hanya bilal.

Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.


"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.


"Tidak menghairankan kepada semua ini, bagaimana pantas "imam" ini memperakui mubahalah yang dilakukan oleh Saiful, sekalipun mubahalah itu diragui oleh banyak pihak sebagai tidak mengikuti kaedah Islam."


source: http://mstar.com.my

Sunday, August 3, 2008

HYPERTESION

Melawan tekanan

Penyakit darah tinggi dianggap pembunuh senyap kerana pesakit tidak tahu mengenainya sehingga dia berjumpa doktor.




Tekanan darah tinggi, diabetes yang tidak terkawal, tabiat merokok dan tahap kolesterol yang tinggi adalah antara faktor awal bagi seseorang mendapat penyakit kardiovaskular.


Dalam banyak faktor risiko tersebut, hipertensi atau tekanan darah tinggi kekal sebagai risiko utama bagi penyakit jantung dan merupakan ancaman paling umum di kalangan rakyat Malaysia.

Lantaran itu, mereka berhadapan dengan risiko serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan strok.


Di seluruh dunia, dianggarkan 972 juta orang menghidap hipertensi. Jumlah ini dijangka meningkat kepada 1.5 bilion menjelang tahun 2025. Perangkaan itu bersamaan dengan nisbah kira-kira seorang bagi setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20 tahun.


DR. AZANI


“Berasaskan data terkini, sekurang-kurangnya 42 peratus golongan dewasa di Malaysia yang berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi,” kata Dr. Azani Mohamed Daud, Pakar Runding Kardiologi sempena pelancaran kempen Are You At Risk? (Adakah Anda Berisiko?) baru-baru ini.


Menurut Azani, pengamal perubatan semakin bimbang kerana hanya lapan peratus daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima.


Kempen Are You At Risk? merupakan usaha sama Yayasan Jantung Malaysia dan Xepa-Soul Pattinson (Xepa SP) Malaysia, yang dilaksanakan seiring tema Hari Jantung Sedunia tahun ini.


DR. KHOO KAH LIN


Kempen ini bukan sahaja berhasrat mendidik pesakit dan golongan berisiko tentang faktor penyebab peribadi penyakit kardiovaskular, tetapi juga bertujuan menggalakkan mereka mendapatkan nasihat perubatan dan profesional.


Walaupun kebimbangan mengenai hipertensi semakin membuka mata ramai pihak, namun ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal.


HANYA lapan peratus daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini dapat mengawal tekanan darah mereka.


“Ada baiknya jika punca asas masalah ini ditangani demi mengelakkan kesan buruknya menjejaskan keupayaan pesakit,” ulas Azani.


Satu pendekatan radikal ialah konsep polipil yang mencapai kemajuan besar pada tahun 2003.

Dengan menggabungkan enam ubat dan vitamin untuk menangani empat faktor yang diketahui meningkatkan risiko penyakit jantung, polipil mengandungi sejenis statin, tiga ubat mengurangkan tekanan darah, asid folik dan aspirin.




Oleh kerana setiap komponen polipil didapati mengurangkan salah satu daripada faktor risiko berikut – kolesterol lipoprotein kepadatan rendah (LDL), tekanan darah, serum homosistein dan fungsi platlet, kesan pencegahan keseluruhan daripada kombinasi ini dapat mengurangkan kejadian kardiovaskular dengan ketara.


“Dengan mengambil pil gabungan ini sekali setiap hari pada dos tertentu, risiko penyakit jantung iskemia boleh dikurangkan secara berkesan, iaitu sehingga lebih 80 peratus.


“Tambahan lagi, orang yang berusia lebih daripada 55 tahun boleh hidup 11 hingga 12 tahun lagi tanpa serangan jantung dan strok,” jelas Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr. Khoo Kah Lin.


Keputusan positif yang diraih daripada konsep polipil telah mendorong pihak yang membuat kajian untuk mengesyorkan pil ini diberikan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyakit jantung atau berusia lebih daripada 55 tahun sebagai strategi pencegahan. – HAMZAH ABDUL HAMID


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Friday, August 1, 2008

SKANDAL

MCA serah kepada polis dakwaan skandal seks


KUALA LUMPUR: MCA akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung kedudukan beliau dalam parti dan Kabinet.


Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Ong Ka Chuan, berkata kepemimpinan tertinggi parti turut bermesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan. "MCA akan bermesyuarat untuk membincangkan isu ini yang turut dihadiri Wee dan mesyuarat itu adalah perjumpaan biasa apabila sesuatu masalah berlaku.


"Namun, perkara yang terpenting ialah kedudukan parti tidak akan terjejas dengan isu itu dan kita akan menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan Pelancaran Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), di sini, hari ini.

Wee membuat laporan polis Jumaat lalu berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan beliau bakal meletak jawatan daripada Kabinet dan MCA, seperti dilakukan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, Januari lalu.


Beliau mendakwa penyebaran SMS itu yang bermula sejak 22 Julai lalu bertujuan merosakkan imejnya. Sementara itu, Ka Chuan berkata, beliau belum bersedia untuk merebut jawatan Presiden parti yang ketika ini dikosongkan.


ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my

Thursday, July 31, 2008

NIK AZIZ HAMPIR SETUJU

Nik Aziz hampir setuju

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertemu media selepas perbincangan tertutup bersama Timbalannya Dr.Harun Din (kiri) Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa di kediamannya, minggu lepas. - Foto Syamsi Suhaimi


Pas sedia bincang usul bentuk kerajaan campuran di Perak



KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam membayangkan kesediaan parti itu berbincang dengan Umno berhubung cadangan membentuk kerajaan campuran di Perak.

Beliau bagaimanapun berkata, proses itu memerlukan masa kerana ia mesti dibawa ke muktamar tahunan Pas bulan depan, manakala Umno pula perlu pada perhimpunan agungnya Disember ini.

Sambil mengakui bukan mudah membentuk kerjasama dua parti yang bermusuh sekian lama, Nik Abdul Aziz berkata, sebarang ketetapan berhubung muqabalah dengan Umno serta pendirian Pas mengenai cadangan kerajaan campuran di Perak akan diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di ibu kota hari ini.



"Bersatu (dengan Umno) itu masalah kedua, biar muqabalah dulu. Lepas tu pandailah kita buat keputusan. Kita tak boleh tergesa-gesa buat keputusan kerana kita dah ada pengalaman.

"Politik mesti buat berhati-hati... takkan 50 tahun punya kes nak selesai dalam sehari. Kita tengok dunia sekarang ini pun tak selesai masalah, mesti ada orang tengah macam Israel nak damai dengan Syria dan Turki.


"Saya akan pergi (mesyuarat di Kuala Lumpur)... tapi kenyataan saya sama seperti sebelum ini, muqabalah boleh, politik jangan lagi... tolak ke tak tolak (penggabungan dengan Umno), kita bincang dulu," katanya selepas melancarkan tabung penambahbaikan Masjid Al-Baroah dan ceramah Israk Mikraj di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali Isnin lalu mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di negeri itu dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.



Nik Abdul Aziz berkata, muqabalah dengan Umno seperti dipersetujui sebelum ini perlu dimulakan dengan perbincangan mengenai kepentingan agama Islam dan tidak membabitkan sebarang perbincangan berkaitan politik.

Beliau juga berkata, sebarang kerjasama antara Umno dan Pas mesti menjadikan Islam sebagai asas pegangan kedua-dua parti itu kerana Islam bukan untuk menjaga kepentingan orang Melayu, sebaliknya menyatukan semua kaum tanpa sebarang prasangka.


"Mudah-mudahan, pemikiran ini (mengadakan muqabalah) berjalan lagi dalam bentuk organisasi yang tersusun. Cuma saya bimbang pada Perhimpunan Agung Umno, ahlinya tolak rancangan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).

"Kita nak buat macam mana. Kalau ada yang tak mahu Islam, boleh jumpa saya dan beritahu apa yang tak kena dengan Islam," katanya.


ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my


Wednesday, July 30, 2008

MATI PUCUK

Gula-gula merawat mati pucuk beracun





KUALA LUMPUR - Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan merampas gula-gula untuk kesihatan "Hotton Vitality Candy" selepas dikesan mengandungi racun berjadual Aminotaladafil (analog tadalafil) yang boleh membawa kesan sampingan jika digunakan secara berterusan atau dalam dos yang tinggi.


Menurut kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, rampasan bernilai RM1.18 juta itu dibuat dalam serbuan di premis sebuah syarikat pengimport di Damansara Jaya dan premis pengedarnya di Bandar Puteri, Puchong pada 17 Julai lalu.


Taladafil merupakan ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mati pucuk dan penggunaan ubat itu dalam dos yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan sesak nafas serta hilang daya ingatan.


"Keselamatan menggunakan analoq bahan ini untuk tujuan perubatan belum pernah dijalankan secara saintifik. Campuran Aminotaladafil (analoq Taladafil) dalam gula-gula tersebut bertujuan mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan untuk mengelirukan orang awam bahawa gula-gula ini selamat dimakan tanpa menyedari bahaya bahan itu," kata kenyataan itu. - Bernama


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

BOGEL

'Suami tidak kisah saya bogel'





JELITA: Carla Bruni menghiasi kulit majalah Vanity Fair yang berada di pasaran semalam dan turut berkongsi kisah perkahwinannya dengan pemimpin Perancis itu.


Isteri dakwa Presiden Perancis suka gambarnya dedah tubuh ketika jadi modelPARIS: Wanita Pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy berkata suaminya tidak marah apabila mendapat tahu yang beliau pernah bergambar bogel ketika bekerja sebagai model dulu. "Kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka hanya kerana kerjaya lalu saya, termasuk gambar bogel saya," katanya dalam wawancara dengan edisi terbaru majalah Vanity Fair yang berada di pasaran mulai semalam.


Bruni berkata beliau mengumpulkan gambar bogelnya yang lama dan menunjukkannya kepada Presiden Nicolas Sarkozy pada awal perhubungan mereka dan menyatakan, "anda mesti tahu mengenai ini sebab lambat laun ia akan didedahkan." Reaksi Presiden itu ialah "Oh, saya suka yang ini! Boleh saya dapat sekeping gambar ini?" Bruni dipetik sebagai memberitahu majalah berkenaan.

Super model berusia 40 tahun itu berkahwin dengan Sarkozy, 53, Februari lalu, selepas bercinta dengan presiden berkenaan. Album terbarunya As if nothing had happened mula dijual bulan ini.
Sementara itu satu laporan lain mendakwa jelitawan berbakat itu sememangnya kepingin mempunyai anak bersama Sarkozy. "Saya sememangnya mahukan anak dan hanya masa dan keadaan diri ini yang menentukannya." Bagaimanapun Bruni menegaskan, beliau sama sekali tidak berminat untuk mencuba pelbagai program rawatan kesuburan dan teknik bantuan perubatan untuk mendapatkan zuriat.


"Jika saya ada anak, biarlah secara semula jadi. Saya pasti gembira mampu memberikan anak yang comel buat suami tersayang. Tetapi jika apa yang diingini itu tidak menjadi, saya sama sekali tidak berhasrat untuk mencuba pelbagai rawatan kesuburan yang ada.
"Saya tidak akan berasa kecewa atau sedih kerana kehidupan selama ini sudah terlalu indah untuk dikesali," katanya. Bruni juga tidak menafikan yang beliau sememangnya tidak sebulu dengan bekas isteri kedua Sarkozy, Cecilia.


"Sudah pasti saya mahu keluar makan bersamanya. Tetapi biarlah, kerana Cecilia mahu pun suami juga tidak bersedia dengan kemungkinan itu. Saya tahu, mereka berdua masih dalam proses mengubati luka akibat perceraian itu." Sementara itu, satu laporan lain menyatakan album terbaru Bruni melonjak ke senarai teratas carta lagu negara itu pada minggu pertama jualan rekodnya, kata seorang penganalisis industri muzik tempatan.


Album berkenaan menarik paling banyak perhatian berikutan ia adalah yang pertama dihasilkan model kelahiran Itali itu sebelum beralih kerjaya sebagai bintang pop selepas menjalin hubungan dengan Sarkozy.


Album baru berjudul Com me si de rien n'etait (Bagaikan tiada apa terjadi) dan dikeluarkan menggunakan nama 'Carla Bruni', mula diedar kan di pasaran 11 Julai lalu selepas mendapat publisiti besar-besaran. Kumpulan penganalisis yang mencatat jualan rekod Perancis dikenali SNEP berkata bermula 13 Julai jualan album Bruni mengatasi Viva la Vida, nyanyian kumpulan pemuzik British, Coldplay. SNEP, bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah al bum yang dijual. – AP/AFP


ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my

Thursday, July 24, 2008

REBET

REBET: GANJARAN ATAU PENIPUAN?



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini rebet telah menjadi sangat terkenal dikalangan peniaga terutamanya barangan elektronik dan alatan komputer. Rebet-rebet yang berjumlah RM20, RM50, atau RM100 adalah sesuatu yang biasa.


Saya pernah melihat sesetengah barang dikatakan sebagai percuma selepas rebet. Adakah anda boleh mempercayai semua ini? Nampak seperti terlalu benar untuk dipercayai bukan? Ada diantara rebet ini benar, ada juga yang penipuan belaka, tetapi jika anda pandai, rebet ini dapat menolong anda mendapat harga yang terbaik.


Cara rebet ini berfungsi adalah dengan cara anda membayar harga penuh sesuatu barang yang anda beli, kemudian anda poskan borang yang dikhaskan beserta kod bar barangan tersebut kepada pihak pengeluar tersebut, dan mereka akan menghantar anda bayaran balik sekaligus ini akan mengurangkan kos harga asal barangan kecuali dengan kelewatan beberapa minggu.


Peraturan #1 : Rebet dari syarikat bereputasi biasanya benar.

Anda boleh mempercayai yang anda akan memperolehi rebet dari syarikat besar seperti Best Buy, Amazon atau Dell, tapi jangan berharap dengan tawaran rebet dari syarikat yang anda sendiri tidak pernah dengarnya. Jika anda benar-benar mahukan barangan tersebut, beli ia dengan harga tertera tapi jangan mengharapkan pulangan bayaran.


Peraturan #2 : Pastikan tarikh luput rebet.

Kebanyakan barangan masih lagi diiklankan walaupun tarikh akhir menhantar borang rebet telah luput, jadi pastikan tarikhnya sebelum membuat pesanan.


Peraturan #3 : Pastikan anda mempunyai semua borang diperlukan untuk rebet sebelum meninggalkan kedai.

Rebet memerlukan anda megisi borang, bukti pembelian dan kod bar jangan dihilangkan.


Peraturan #4 : Selalu ada salinan borang yang siap diisi sebagai bukti.


Buat salinan semua borang yang anda isi termasuk resit dan kod bar. Kadangkala barang hilang dalam proses penghantaran. Jika ini terjadi adalah berbaloi sekiranya rebet anda bernilai RM50 untuk mengulang semula tuntutan rebet anda.



ARTICLES SOURCE: http://www.sarahiduponline.com

Friday, July 11, 2008

STROK

STROK (ANGIN AKMAR)


TANDA-TANDA STROK

Apabila ada perkara-perkara berikut yang berlaku tanpa sebarang amaran :

-Terasa lemah atau kebas pada bahagian muka, tangan atau kaki, terutamanya pada sebelah bahagain badan.

-Berlaku kekeliruan dan juga kesukaran untuk bertutur atau memahami sesuatu.

-Kabur penglihatan, sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah mata

-Masalah pada pergerakan atau kawalannya (kawalatur) seperti kesukaran untuk berjalan, terasa pening dan juga hilang keupayaan mengimbang atau mengawal pergerakan.

Faktor - Faktor Risiko


Faktor risiko boleh diubahsuai untuk strok ialah seperti berikut :


-Penyakit jantung


-Tekanan darah tinggi - faktor risiko yang penting yang boleh diubah dan dikawal.

-Arterosklerosis - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung

-Kejadian TIA yang lalu - akan lebih mudah untuk mendapat strok

-Paras kolesterol yang tinggi - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung

-Pengambilan alkohol yang berlebihan - meningkatkan tekanan darah

-Obesiti - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung

-Merokok - kerosakan pada jantung

-Mengambil pil perancang keluarga - berserta dengan merokok, mampu meningkatkan risiko strok

Pencegahan


Bagi pesakit yang sedang menjalani proses pemulihan, perkara berikut boleh membantu di dalam mengelakkan kejadian strok berulang lagi.


-Berhenti merokok - merokok boleh menyempitkan arteri


-Elakkan kegemukan - jaga berat badan


-Amalkan diet yang seimbang, kurangkan pengambilan makanan berlemak


-Lakukan senaman secara berkala, seperti senaman aerobik (berbasikal, berjoging dan berjalan)


-Elak dan kawal tekanan perasaan atau stres


-Secara amnya, bagi setiap individu yang berisiko, berikut ialah beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan strok


-Dapatkan pemeriksaan tekanan darah anda. Sekiranya, anda tidak mengetahui tekanan darah anda, dapatkan pemeriksaan dengan segera. Anda mungkin mengalami tekanan darah tinggi dan mungkin mempunyai risiko untuk mendapat strok tanpa anda sedari.


-Berhenti merokok. Merokok meningkatkan risiko anda untuk mendapat sakit jantung, strok dan juga kanser. Kombinasi merokok, dan juga pengambilan pil-pil perancang keluarga akan meningkatkan lagi risiko strok di kalangan wanita.


-Makan makanan yang rendah lemak. Makanan tersebut akan mengurangkan paras kolesterol dan dapat membantu mengurangkan berat badan dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung yang merupakan risiko yang kuat untuk mendapat strok. Sekiranya anda mempunyai berat badan yang berlebihan beserta dengan tekanan darah tinggi, mengurangkan berat badan boleh menurunkan tekanan darah anda.


-Amalkan kehidupan yang aktif. Aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko strok dengan menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung.


-Ambillah ubat yang diberi oleh doktor. Sekiranya perubahan cara hidup tidak mencukupi untuk mengurangkan risiko strok anda, doktor anda mungkin akan memberi ubat untuk menurunkan tekanan darah, dan paras kolesterol disamping ubat-ubat lain jika perlu.


-Kurangkan pengambilan minuman keras. Mengambil lebih daripada satu gelas sehari cukup untuk meningkatkan tekanan darah. Meminum minuman keras secara berlebihan mampu membawa kepada strok.

ARTICLES SOURCE: http://www.infosihat.gov.my