Friday, August 1, 2008

SKANDAL

MCA serah kepada polis dakwaan skandal seks


KUALA LUMPUR: MCA akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung kedudukan beliau dalam parti dan Kabinet.


Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Ong Ka Chuan, berkata kepemimpinan tertinggi parti turut bermesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan. "MCA akan bermesyuarat untuk membincangkan isu ini yang turut dihadiri Wee dan mesyuarat itu adalah perjumpaan biasa apabila sesuatu masalah berlaku.


"Namun, perkara yang terpenting ialah kedudukan parti tidak akan terjejas dengan isu itu dan kita akan menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan Pelancaran Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), di sini, hari ini.

Wee membuat laporan polis Jumaat lalu berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan beliau bakal meletak jawatan daripada Kabinet dan MCA, seperti dilakukan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, Januari lalu.


Beliau mendakwa penyebaran SMS itu yang bermula sejak 22 Julai lalu bertujuan merosakkan imejnya. Sementara itu, Ka Chuan berkata, beliau belum bersedia untuk merebut jawatan Presiden parti yang ketika ini dikosongkan.


ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment