Wednesday, August 13, 2008

FERRARI F430

Keunggulan Ferrari


Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan2hmetro.com.my


JENTERA berkuasa tinggi terkenal Itali, Ferrari F430 Scuderia sekali lagi menerima satu lagi koleksi anugerah apabila dinobatkan Kereta Sport Dua Tempat Duduk Terbaik oleh Majalah Fortune, baru-baru ini.

JENTERA berkuasa tinggi terkenal Itali, Ferrari F430 Scuderia sekali lagi menerima satu lagi koleksi anugerah apabila dinobatkan Kereta Sport Dua Tempat Duduk Terbaik oleh Majalah Fortune, baru-baru ini.


Lambang kuda gagah yang menjadi identiti pengeluar kenderaan mewah itu berjaya menewaskan 10 pesaingnya seperti Porsche, Chevrolet, Nissan, BMW, Jaguar dan Mercedes-Benz.


Menurut wartawan Fortune, Sue Zesiger Callaway, yang juga juri anugerah terbabit mengakui Ferrari F430 Scuderia jelas sebuah jentera yang lengkap dari segi pecutan, kuasa, kemewahan dan prestij.

“Jentera ini terlalu laju sehingga mampu mencatat masa hanya 3.5 saat untuk bergerak daripada pegun ke kelajuan 60 batu sejam (mph).

“Tambahan pula, bunyi ngauman enjinnya yang seksi, berbeza daripada jentera lain,” katanya.

Katanya, Ferrari seharusnya berterima kasih kepada bekas pelumba juara dunia Formula Satu (F1), Michael Schumacher dalam pembangunan semula Ferrari dalam dunia permotoran hari ini.

Dilengkapi enjin berkapasiti 4.3 liter lapan silinder (V8), Scuderia diakui sebagai kereta terpantas dalam keluarga Ferrari.


Selain reka bentuk badan yang ringan dan ditambah pula enjin berkuasa kuda 510hp, iaitu melebihi 30hp daripada enjin F430 asal, Scuderia hanya mengambil masa kurang 3.7 saat untuk mencecah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j).

Peningkatan kuasa V8 ini disebabkan penggunaan enjin gentian karbon baru yang lebih ringan dan berkuasa selain penggunaan palam pencucuh daripada teknologi perlumbaan F1 Ferrari.

Bagi menunjukkan Scuderia kenderaan yang berciri eksklusif, dua jalur perlumbaan menghiasi badan kereta ini bermula dari bonet hadapan sehingga ke bahagian lampu belakang.


Kepantasan Scuderia ini turut dibantu penggunaan perisian terkini bagi pertukaran gear, kawalan kestabilan dan klac yang sama digunakan dalam teknologi perlumbaan F1.

Menurut Ferrari, Scuderia satu-satunya kenderaan keluarannya yang menggabungkan tiga sistem terkini daripada teknologi perlumbaan F1 di dalam satu kotak hitam pada enjin kenderaan terbabit.

Sementara itu, tempat kedua kategori sama diraih Porsche menerusi model 911 Turbo manakala tempat ketiga dimenangi Chevrolet Corvette.


Bagi kategori lain, Nissan GT-R berjaya menguasai tempat teratas bagi kategori jentera GT, BMW M3 (Coupe Saiz Kecil), Bentley Brooklands (Coupe Saiz Besar), Audi RS4 (Sedan Kecil), Jaguar XF Supercharged (Sedan Saiz Pertengahan), Mercedes-Benz S550 (Sedan Besar), Lexus RX400 h AWD (Wagon/Crossover), Porsche Cayenne GTS (SUV Saiz Pertengahan) dan Lexus LX 570 (SUV Saiz Besar).


SOURCE: http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment