Tuesday, August 12, 2008

RISAU BILIK KEBAL TAK KEBAL

Risau bilik kebal tak kebal




Beberapa pelanggan kedai pajak gadai Islam Ar-Rahn di Kota Bharu meninjau premis itu yang ditutup semalam.


KOTA BHARU - Jika bilik kebal lengkap dengan sistem keselamatan pun boleh diceroboh mana lagi tempat selamat barang berharga perlu disimpan?


Begitulah luahan rata-rata orang ramai yang juga pelanggan kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn cawangan Kota Bharu yang kerugian RM18 juta selepas ia diceroboh oleh empat lelaki bertopeng tiga hari lalu dan hanya disedari kelmarin.

Kosmo! yang membuat tinjauan ke bangunan milik Permodalan Kelantan Berhad (PKB) di sini mendapati, premis tersebut diserbu kira-kira 10 orang pelanggannya.


Mereka yang mengetahui kejadian tersebut melalui media telah mengerumuni pintu hadapan kedai pajak gadai tersebut bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai barang kemas masing-masing.


Kebanyakan mereka mendakwa kerugian kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 dan memberitahu, setakat ini tiada lagi notis pemberitahuan daripada pihak pengurusan PKB mengenai status barangan mereka yang disimpan di dalam kedai tersebut.

Malah selain khuatir dengan barangan mereka yang belum diketahui nasibnya, para pelanggan kedai pajak gadai itu juga kebingungan memikirkan lokasi selamat untuk menyimpan barang berharga mereka.


Seorang pelanggan, Izzarubi Ismail, 32, berkata, dia terkejut dengan berita rompakan yang membabitkan kedai pajak gadai yang menjadi premis tempat dia menyimpan barangan kemas.

"Saya ingatkan bila simpan barang berharga di sini lebih selamat daripada ia disimpan di rumah, tetapi rupa-rupanya bilik kebal di sini juga boleh diceroboh," kata Izzarubi.


Akhbar semalam melaporkan kedai pajak gadai tersebut kerugian RM18 juta apabila ia diceroboh masuk.

Kejadian tersebut berlaku pukul 12.09 pagi Sabtu dan kamera litar tertutup (CCTV) dapat merakam imej empat lelaki bertopeng berada di bilik kebal itu.


Sebahagian barang kemas yang disimpan di dalam 238 kotak di bilik kebal tersebut lesap.


articles source: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment