Sunday, August 10, 2008

MURID KERACUNAN

43 murid keracunan makan nuget



JOHOR BAHRU 9 Ogos - Sekolah Kebangsaan Taman Daya 2, di sini gempar apabila seramai 43 muridnya terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana dipercayai mengalami keracunan makanan setelah memakan nuget ayam di kantin sekolah.Murid terbabit hadir pada hari persekolahan ganti untuk cuti Hari Raya sekolah itu, hari ini.


Menurut salah seorang murid yang mengalami keracunan, Shahrul Fahmi Kamarul Zaman, 11, dia makan beberapa keping nuget ayam ketika waktu rehat kira-kira pukul 9.45 pagi.

"Selepas 15 minit, perut saya mulai sakit memulas-mulas dan saya turut muntah sebanyak enam kali," katanya yang dihantar gurunya ke HSI untuk mendapatkan rawatan.


Ahmad Norazim Mohd. Nasir, 11, pula memberitahu, dia turut mengalami sakit perut, muntah-muntah serta cirit-birit setelah memakan nuget ayam yang dijual di kantin sekolah.


"Selepas waktu rehat, saya rasa sakit sangat dan badan rasa lemah. Kerana tak tahan, saya memberitahu cikgu," katanya yang ditemui selepas mendapat rawatan di hospital yang sama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, kesemua murid berkenaan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.


"Kami mengesyaki mereka keracunan makanan kerana memakan nuget di kantin sekolah... kami akan menjalankan siasatan lanjut ke atas pengusaha kantin terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di HSI, di sini.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment