Saturday, August 9, 2008

FORUM MEMELUK ISLAM DIHENTIKAN

Forum Majlis Peguam tukar kecoh, dihentikan


09-08-2008 10:37:54 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan LEE YAN XIU

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang diadakan di sebalik demonstrasi kira-kira 500 orang di ibu negara pagi ini bertukar kecoh dan dihentikan sejam kemudian.


Ekoran bantahan dan usaha untuk merempuh bangunan Majlis Peguam, terpaksa dihentikan kira-kira pukul 10.02 pagi - selepas berlangsung selama sejam.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Pekida Malaysia, Shahril Aziz yang menyatakan bahawa forum "ditutup' pada pukul 10 pagi.

Wartawan mStar Online melaporkan ada pertengkaran dan suasana tegang antara wakil beberapa NGO dan penganjur semasa perundingan diadakan untuk mengakhiri forum berkenaan.


Pasukan FRU juga diletakkan di luar bangunan Majlis Peguam untuk menghalang mana-mana pihak memasuki premis berkenaan.

Forum dimulakan kira-kira pukul 9 pagi di bangunan Majlis Peguam yang terletak di Jalan Tun Perak di sini.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memasuki pejabat Majlis Peguam untuk berunding meminta forum itu dihentikan demi faktor keselamatan.

Beliau disertain wakil NGO kira-kira 15 minit.


Difahamkan pihak polis mahu forum ditamatkan pada pukul 10 pagi.

Tiada kecederaan dan tangkapan dibuat, kata polis.


Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Zulkifli Nordin pula berkata, pihaknya telah berjaya menghentikan forum tanpa unsur politik.

"Kita telah memberi amaran yang jelas kepada mereka dan tidak mahu forum seperti ini diadakan lagi.


"Kita telah bertindak secara aman dan bertamadun," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Mereka yang membantah forum itu turut merempuh bangunan Majlis Peguam ketika beberapa wakil NGO dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perundingan dengan penganjur meminta forum dihentikan pada pukul 10 pagi.


Terdahulu kira-kira pukul 7.50 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan meneruskan forum berkenaan.

"Ini hak kami dan kami mengalu-alukan sesiapa untuk menyertai forum," kata beliau kepada pemberita.


Kumpulan yang membantah forum berkenaan, bertambah hingga kira-kira 500 orang menjelang pukul 9.30 pagi.

Demonstrasi diiringi laungan "hentikan forum" disertai ahli dna penyokong 29 pertubuhan bukan kerajaan. Antaranya ialah Perkim, Persatuan Pengguna Islam, Pekida dan Kelab Umno Luar Negara.

Pemimpin PAS juga menyertai perhimpunan bantahan itu.


Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata, forum itu tidak seharusnya mempertikaikan Artikel 121(A).

Semalam. Naib Presidennya Ragunath Kesavan berkata forum itu tidak akan mempertikaikan Fasal 121 (1A) atau mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Kebimbangan pihak tertentu termasuk beberapa menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan PAS diberi perhatian," katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Peguam di sini hari ini.

Ragunath berkata objektif Majlis Peguam ialah untuk menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah Syariah.


Panel penceramah terdiri daripada Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Wan Azhar Wan Ahmad dan tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.


Seorang penceramah telah menarik diri iaitu Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr Haji Naim Haji Mokhtar.



ARTICLES SOURCE: http://mstar.com.my

No comments:

Post a Comment