Wednesday, August 6, 2008

BMW 320I SPORTS

BMW 320i Sports miliki sentuhan M




BAGI sesetengah penggemar kereta mewah BMW, peralihan daripada model E46 (nama kod bagi BMW 3 Series keluaran 1998) kepada E90 pada tahun 2005 pada awalnya sedikit sukar diterima. Ini kerana reka bentuk 3 Series pada E90 dilihat jauh keluar daripada reka bentuk E46 yang sudah menjadi ikon hampir tujuh tahun lamanya. Apatah lagi E90 mirip 5 Series.

Namun, perlahan-lahan E90 mengukuh dan diterima, apatah lagi ciri-ciri teknologi yang diperkenalkan di dalamnya semakin canggih, selain peningkatan daripada kuasa maksimum enjin dan tork.


Kini satu lagi varian iaitu BMW 329i Sports yang diperkenalkan pada April lalu, diyakini bakal menempatkan BMW 3 Series terus di hadapan dalam segmen sedan sports mewah di negara ini.

Varian ini diberi sentuhan M atau Motorsport iaitu cabang kereta lumba bagi BMW yang mengeluarkan varian khas seperti M3 dan M5 yang sudah tersohor.


Diperkasa enjin 2.0 liter VALVETRONIC, aksesori badan M Aerodinamik, rim roda aloi ringan mata berkembar 17 inci, sistem gantungan M Sports selain stereng roda disalut sarung kulit M, varian 320i Sports ini tentunya meningkatkan lagi penanda aras bagi sedan sports.


Enjin VALVETRONIC model ini telah diberi penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi output, sekali gus memperbaiki tahap penjimatan minyak. Enjin ini berupaya menghambur pada 156 bhp/ 115 kW pada 6,500 rpm yang boleh mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.

Beberapa kenalan yang memiliki BMW mengakui membeli kereta mewah ini lebih kerana dorongan prestij yang dibawanya. Bermakna dalam kebanyakan masa, mereka lebih aman dan tenteram memandu kereta mereka pada paras purata 110 km/j sahaja.

Bagi penggemar kereta tulen, pemilik seperti yang disebut di atas, gagal memenuhi matlamat sebenar pemilikan sebuah kereta sports atau mewah seperti BMW. Prestij bersamaan dengan kelajuan. Kalau setakat prestij, mereka hanya menggunakan 50 peratus keupayaan sebenar kereta. Ini juga boleh disifatkan suatu pembaziran!


Menyentuh aspek pembaziran, BMW 320i Sports ini berkemampuan menggunakan hanya 8 liter petrol bagi setiap 100 km yang dijelajahi. Tangki penuhnya ialah 63 liter. Itu kalau bawa 110 km/j sahaja!

Selalunya bila memandu uji kereta Jerman atau Jepun yang memiliki ciri dwi-gear iaitu automatik dan manual (dalam kes BMW ia menggunakan transmisi Steptronic enam-kelajuan), penulis lebih gemar menggunakan gear manual.


Seronok menukarnya sebab tidak perlu tekan clutch. Memadai hanya menekan tombol gear ke atas untuk menambah gear dan ke bawah untuk menurun. Cuma radio tidak boleh kuat sangat, nanti tak dengar pula kesan tukaran gear.


Varian ini juga didatangkan dengan Pakej M Sports Menyeluruh yang memberi rasa dinamik dan ciri-ciri dalaman serta luaran yang inovatif. Ciri paling ketara ialah pada bamper depan yang memberi rupa lebih garang dan maskulin. Pada bamper belakang pula ia memiliki kaedah yang menambah tekanan menurun bagi roda-roda belakang. Ia bukan sahaja memberi rupa sporty tetapi berfungsi meningkatkan sentuhan pada permukaan jalan semasa kereta dipacu pada kelajuan tinggi.

Pada chasis, ia menggunakan kerangka ringan dan reka bentuk gandar digabungkan dengan DSC (Kawalan Dinamik Kestabilan) yang memberikan BMW 320 i Sports mudah dikendalikan dan pada masa yang sama, turut menawarkan keselesaan.

Dengan sistem gantungan M Sports, ketinggian pemanduan telah direndahkan sebanyak 15 milimeter yang memberi jaminan kejituan pengendalian.


BMW 320i Sports ini diserikan dengan rim roda aloi ringan mata berkembar 17 inci iaitu 194 M dengan spesifikasi depan: 225/45 R17 dan belakang: 225/40 R17.

Daripada sudut dalaman, sistem audionya mempunyai ciri pemuka USB Audio yang boleh disambungkan dengan iPod, pemain mp3 dan USB.


Stereng roda yang disalut sarung kulit M dengan logo M memberikan genggaman kental pada batang tebalnya. Butang-butang pelbagai fungsi bersepadu pada stereng roda boleh mengawal radio, pemain CD dan USB.


Pada panel pemukanya, BMW 320i Sports memaparkan sentuhan sporty yang diistilahkan Aluminium Glacier Perak.

BMW 320i Sports yang dipasang tempatan (CKD) ini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) RM245,800 yang merangkumi cukai jalan, pendaftaran serta pakej Servis Tiga tahun dan Baikpulih.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.m

No comments:

Post a Comment