Sunday, August 3, 2008

HYPERTESION

Melawan tekanan

Penyakit darah tinggi dianggap pembunuh senyap kerana pesakit tidak tahu mengenainya sehingga dia berjumpa doktor.




Tekanan darah tinggi, diabetes yang tidak terkawal, tabiat merokok dan tahap kolesterol yang tinggi adalah antara faktor awal bagi seseorang mendapat penyakit kardiovaskular.


Dalam banyak faktor risiko tersebut, hipertensi atau tekanan darah tinggi kekal sebagai risiko utama bagi penyakit jantung dan merupakan ancaman paling umum di kalangan rakyat Malaysia.

Lantaran itu, mereka berhadapan dengan risiko serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan strok.


Di seluruh dunia, dianggarkan 972 juta orang menghidap hipertensi. Jumlah ini dijangka meningkat kepada 1.5 bilion menjelang tahun 2025. Perangkaan itu bersamaan dengan nisbah kira-kira seorang bagi setiap tiga orang dewasa berusia lebih 20 tahun.


DR. AZANI


“Berasaskan data terkini, sekurang-kurangnya 42 peratus golongan dewasa di Malaysia yang berusia lebih 30 tahun mengalami hipertensi,” kata Dr. Azani Mohamed Daud, Pakar Runding Kardiologi sempena pelancaran kempen Are You At Risk? (Adakah Anda Berisiko?) baru-baru ini.


Menurut Azani, pengamal perubatan semakin bimbang kerana hanya lapan peratus daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima.


Kempen Are You At Risk? merupakan usaha sama Yayasan Jantung Malaysia dan Xepa-Soul Pattinson (Xepa SP) Malaysia, yang dilaksanakan seiring tema Hari Jantung Sedunia tahun ini.


DR. KHOO KAH LIN


Kempen ini bukan sahaja berhasrat mendidik pesakit dan golongan berisiko tentang faktor penyebab peribadi penyakit kardiovaskular, tetapi juga bertujuan menggalakkan mereka mendapatkan nasihat perubatan dan profesional.


Walaupun kebimbangan mengenai hipertensi semakin membuka mata ramai pihak, namun ia antara sebilangan faktor risiko yang boleh dikawal.


HANYA lapan peratus daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini dapat mengawal tekanan darah mereka.


“Ada baiknya jika punca asas masalah ini ditangani demi mengelakkan kesan buruknya menjejaskan keupayaan pesakit,” ulas Azani.


Satu pendekatan radikal ialah konsep polipil yang mencapai kemajuan besar pada tahun 2003.

Dengan menggabungkan enam ubat dan vitamin untuk menangani empat faktor yang diketahui meningkatkan risiko penyakit jantung, polipil mengandungi sejenis statin, tiga ubat mengurangkan tekanan darah, asid folik dan aspirin.




Oleh kerana setiap komponen polipil didapati mengurangkan salah satu daripada faktor risiko berikut – kolesterol lipoprotein kepadatan rendah (LDL), tekanan darah, serum homosistein dan fungsi platlet, kesan pencegahan keseluruhan daripada kombinasi ini dapat mengurangkan kejadian kardiovaskular dengan ketara.


“Dengan mengambil pil gabungan ini sekali setiap hari pada dos tertentu, risiko penyakit jantung iskemia boleh dikurangkan secara berkesan, iaitu sehingga lebih 80 peratus.


“Tambahan lagi, orang yang berusia lebih daripada 55 tahun boleh hidup 11 hingga 12 tahun lagi tanpa serangan jantung dan strok,” jelas Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr. Khoo Kah Lin.


Keputusan positif yang diraih daripada konsep polipil telah mendorong pihak yang membuat kajian untuk mengesyorkan pil ini diberikan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyakit jantung atau berusia lebih daripada 55 tahun sebagai strategi pencegahan. – HAMZAH ABDUL HAMID


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment