Tuesday, August 5, 2008

KENCING DALAM TRAK

Saya disuruh kencing dalam trak - Maslinda



MASLINDA yang mengemukakan saman RM5 juta selepas mendakwa dipaksa buang air kecil dalam trak polis.



KUALA LUMPUR - Seorang bekas pelayan pelanggan (GRO) memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia dilarang ke tandas dan terpaksa membuang air kecil dalam trak polis lima tahun lepas semasa ditahan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam satu operasi.


Maslinda Ishak, 31, berkata, tiga rakannya membantu menutup beliau dengan memegang tudung setelah dia tidak dibenarkan pergi ke tandas oleh seorang pegawai Rela.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam trak polis ketika ditahan bersama-sama 13 wanita dan dua lelaki oleh pegawai JAWI dalam operasi di pusat-pusat hiburan bagi kesalahan minum arak dan berpakaian tidak sopan.


Menurut Maslinda, setelah berada dalam trak selama 50 minit, beliau meminta kebenaran berkali-kali daripada seorang pegawai Rela bernama Mohamad Tahir Osman untuk ke tandas untuk membuang air kecil tetapi tidak dihiraukan oleh Mohamad Tahir yang akhirnya menjerit "you kencing dalam traklah".


"Oleh kerana terdesak, saya telah meminta kawan-kawan perempuan saya memegang skaf untuk menutup saya dan saya telah pun mencangkung dan membuang air kecil di dalam trak tersebut. Kalau tak silap, tiga orang kawan saya telah pun memegang skaf tersebut untuk menutup saya," katanya ketika disoal peguamnya Sangeet Kaur.


Maslinda, yang kini bekerja sebagai seorang jururawat dental berkata, tiba-tiba, seorang pegawai telah membuka pintu belakang trak dan memasuki kenderaan itu dan menarik turun skaf tersebut.


Mohamad Tahir


Katanya, Mohamad Tahir kemudian berkali-kali mengambil gambarnya sedang membuang air kecil sambil ketawa manakala kawan-kawannya (Maslinda) menyuruh Mohamad Tahir agar menutup mukanya.


"Saya amat takut, sedih dan amat malu," kata Maslinda dalam perbicaraan kes samannya terhadap Mohamad Tahir selain Ketua Pengarah Rela, Pengarah JAWI dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM5 juta kerana mendakwa tindakan Mohamad Tahir itu telah mengaib dan menyebabkannya mengalami trauma.


Dalam pernyataan tuntutannya, Maslinda mendakwa beliau bersama beberapa rakannya dibawa menaiki sebuah trak selepas ditahan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa JAWI dan Rela di Kelab De Vegas, Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.30 malam, 21 Mac 2003.


Pada 16 April 2003, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap Mohamad Tahir yang mengaku bersalah terhadap tuduhan mengganggu kesantunan Maslinda dengan maksud hendak mengaibkannya.


articles source: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment