Showing posts with label DARAH TINGGI. Show all posts
Showing posts with label DARAH TINGGI. Show all posts

Wednesday, April 8, 2009

PENYAKIT TIBI

Penyakit TIBI


TIBI ialah sejenis penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan sempurna. Disebabkan oleh bacteria TIBI (Tubercle Bacilli) dan hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Bakteria ini biasanya menjangkiti paru-paru dan boleh menyerang organ-organ lain seperti selaput otak, tulang, kelenjar leher, buah pinggang, kulit dan lain-lain.


Bagaimana TIBI Merebak ?

Bakteria TIBI disebarkan melalui udara. Pesakit TIBI yang menderita akan mengeluarkan berjuta-juta bacteria TIBI terawang-awang di udara seketika apabila bersin atau batuk. Individu yang menyedut udara tercemar ini mempunyai peluang dijangkiti bacteria TIBI. Biasanya pesakit TIBI boleh menyebarkan bacteria TIBI kepada individu yang berhubung rapat dengannya.


Tanda-Tanda TIBI


Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu

Kahak yang mungkin mengandungi darah

Demam dan berpeluh di sebelah petang dan malam

Susut berat badan dan hlang selera makan

Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang

Mudah menjadi letih


Cara Mengesan Penyakit TIBI


Jika anda mengalami batuk yang berterusan atau tanda-tanda yang disebutkan tadi hendaklah :-

mendapatkan pemeriksaan doktor

melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria TIBI

menjalani pemeriksaan x-ray dada



Rawatan


Penyakit TIBI mengambil masa 6 bulan di bawah penyeliaan anggota-anggota kesihatan yang dilantik.


2 bulan pertama dengan 4 jenis ubat diambil setiap hari

4 bulan berikutnya dengan 2 atau 3 jenis ubat yang diambil 2 kali seminggu


Pencegahan


Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut dna pada umur 12 tahun.


Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor

Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap TIBI

dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan

source: www.sabah.org.my

Thursday, March 5, 2009

TOYOL

" Akibat mahukan kesenangan berterusan menerusi jalan haram, segelintir pemuja toyol sanggup memeterai perjanjian luar biasa termasuk memenuhi permintaan pelik makhluk halus itu yang ingin melihat tuannya melakukan hubungan seks di luar nikah.


Perjanjian yang dibuat pemuja berkenaan selepas roh toyol itu dibangkitkan, adalah antara habuan diterima makhluk berkenaan yang mampu menyelinap bilik berkunci dan mencari wang disorok bagi melakukan tugas mencuri di kediaman penduduk.


Selain itu, toyol berkenaan juga diberi makan ayam dan dihadiahkan barang permainan kanak-kanak oleh pemujanya setiap kali berjaya menyerahkan wang curi.


Perbuatan tidak bertanggungjawab pemuja toyol itu yang berani melakukan perjanjian berkenaan walaupun menyedari ia perbuatan syirik dan dilaknat Allah, kebiasaannya tidak disedari ahli keluarganya.


Perkara berkenaan didedahkan seorang pengamal perubatan tradisional, Hafizan Abdullah, 55, yang turut terkilan dengan kewujudan perjanjian luar biasa antara pemuja toyol dan makhluk halus yang dikatakan mempunyai perangai seperti kanak-kanak.



“Apa yang pelik, apabila ditanya sama ada tuan mereka memberikan darah sebagai makanan supaya melakukan perbuatan mencuri, makhluk halus berwarna hijau, bermata merah dan setinggi paras betis sebaliknya memberitahu ganjaran mereka adalah melihat pemuja melakukan hubungan seks tanpa pengetahuan dengan pasangannya.


"Toyol berkenaan juga diberikan makan ayam dan barang permainan kanak-kanak oleh pemuja setiap kali berjaya menyerahkan wang dicuri itu.


“Apa yang mengecewakan, perbuatan tidak bertanggungjawab pemuja toyol itu yang berani melakukan perjanjian itu tanpa disedari ahli keluarganya mengakibatkan keseluruhan keluarganya terpaksa menanggung dosa,” katanya yang mendakwa pernah menghalau makhluk halus berkenaan yang berjaya diperangkap di kediaman penduduk di sekitar Ulu Tiram dan Pasir Gudang beberapa bulan lalu.


Hafizan berkata, sikap tidak bertanggungjawab pemuja toyol yang sanggup membuat perjanjian luar biasa itu sebagai mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang bagaimanapun mengundang masalah kepada diri sendiri apabila ingkar permintaan makhluk itu.


Menurutnya, pemuja yang gagal memenuhi permintaan boleh mengakibatkan makhluk berkenaan mengganas termasuk merosakkan barangan di rumah atau menimbulkan perselisihan faham antara ahli keluarga. “Ada juga yang berdegil dan enggan mengikut arahan pemuja atau pemiliknya apabila permintaan remeh itu gagal dipenuhi.


“Akhirnya pemuja terbabit yang melakukan amalan terpesong itu terdesak untuk memberi habuan dipinta bagi memastikan tidak dilanda masalah biarpun menyedari perbuatan perbuatan ini haram di sisi agama kerana ia menyekutukan Allah,” katanya.


Menurut Hafizan, orang ramai boleh mengetahui kehadiran toyol dengan menabur kekacang dalam rumah mereka pada waktu malam. Katanya, sekiranya taburan berkenaan tersusun atau terkumpul di satu tempat, ia membuktikan kehadiran toyol berkenaan yang leka bermain dengan barangan terbabit.


“Kebiasaannya, orang ramai bingung berikutan kes kehilangan wang yang disimpan di rumah makin menjadi-jadi. Tambahan pula, jumlah wang yang hilang itu hanya bernilai kecil walaupun disimpan di tempat paling sukar dikesan. “Cara yang paling berkesan bagi menghindari kediaman daripada gangguan syaitan mahupun iblis adalah bacaan ayat Kursi dan berdoa, “ katanya.


Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot, berkata perbuatan membela iblis seperti toyol amalan orang jahiliah yang tidak bertamadun. Herman-Toyol nie salah satu spesis Jin yang suka melakukan kejahatan. Sesiapa yang berminat nak tempah seat kat neraka boleh hubungi Toyol ini dimana jua anda berada

Monday, September 15, 2008

DEMAM TIFOID

Gejala demam tifoid


  • Demam (39 hingga 40° Celsius)

  • Badan terasa lemah

  • Sakit kepala

  • Sakit perut

  • Hilang selera makan

  • Cirit-birit (kanak-kanak)

  • Sembelit (orang dewasa)



    Diagnosis, komplikasi dan rawatan

    Diagnosis tepat boleh dilakukan dengan dua cara iaitu ujian kultur darah (pada minggu pertama selepas demam) atau kultur najis. Bagaimanapun, cara ini jarang dilakukan kerana ia tidak praktikal.

    Menurut Dr Lim, komplikasi demam tifoid jarang berlaku. Kebanyakan pesakit segera berjumpa doktor kerana gejala demam tifoid menyebabkan mereka berasa lemah, tidak bertenaga, sakit perut dan kepala sehingga menjejaskan aktiviti harian.

    Namun jika dibiarkan dan tidak mendapat rawatan segera, demam tifoid boleh menyebabkan:

  • Pendarahan usus

  • Penembusan usus (usus menjadi bocor atau berlubang)

  • Peritonitis (keradangan membran yang mengalas abdomen)

  • Renjatan (bagi kes serius)

  • Kematian (bagi kes serius)

    “Kematian akibat demam tifoid tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh dirawat dengan mudah melalui pengambilan antibiotik seperti ampicilin, trimethorprim-sulfametahoxale dan ciproflaxin.

    “Pesakit akan menunjukkan kesan positif dalam masa dua hingga tiga hari selepas mengambil antibiotik. Pesakit yang gagal mendapat rawatan pula boleh mengalami demam sehingga berbulan lamanya.

    “Jangkitan bakteria demam tifoid tidak hilang walaupun gejalanya tiada. Penyakit boleh muncul kembali dan berjangkit kepada orang lain,” katanya.

    Selain mengamalkan kebersihan ketika menyedia, memasak dan menyimpan makanan, penyebaran bakteria ini boleh dihentikan melalui pengambilan vaksin.

    Ketika ini pengambilan vaksin diwajibkan ke atas semua pengendali restoran atau gerai makanan. Namun, masalah boleh timbul kerana banyak pengusaha mengambil pekerja sambilan yang tidak mendapat suntikan vaksin tifoid.

    Malah, kita juga perlu lebih berhati-hati apabila membeli juadah berbuka kerana risiko mendapat jangkitan bakteria S typhii sentiasa ada. Beli makanan daripada gerai bersih dan penjualnya turut mengambil langkah dalam memastikan juadah dijualnya selamat iaitu menggunakan bekas makanan bertutup, senduk bersih dan berasingan bagi setiap jenis makanan serta tidak mengambil makanan (contohnya kuih) dengan tangan.

    Jika anda diserang demam tifoid dan mendapat rawatan, beberapa langkah penting perlu dipatuhi iaitu:

  • Habiskan semua antibiotik yang diberi mengikut jadual

  • Basuh tangan dengan sabun setiap kali selepas keluar dari tandas

  • Elak memasak atau menghidang makanan kepada orang lain untuk mengurangkan risiko jangkitan

  • Buat pemeriksaan sampel darah atau najis bagi memastikan bakteria S typhii tiada lagi dalam badan anda



    Cara mengelak demam tifiod:

  • Elak makanan dan minuman berisiko tinggi dapat membantu anda daripada penyakit cirit-birit, kolera dan hepatitis A

  • Beli air minuman yang dimasak atau dibotolkan

  • Makan makanan yang dimasak saja dan ketika masih panas

  • Elak makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan yang tidak dikupas kulit.

  • Elak membeli makanan daripada warung tepi jalan, terutama berhampiran lalu lintas yang sibuk. Kebanyakan demam tifiod membabitkan makanan atau minuman yang dijual secara terbuka di tepi jalan

  • Kupas buah atau sayur selepas mencuci tangan dengan sabun

  • Elak minuman berais kerana bimbang sumber air yang digunakan untuk membuat ais itu tercemar. Bakteria ini boleh hidup lama di dalam persekitaran sejuk

  • Pengendali, pengusaha dan pekerja restoran perlu mendapatkan suntikan pencegahan demam tifoid setiap tiga tahun. Suntikan ini juga perlu jika anda mahu melancong ke negara yang banyak kes demam tifoid (sekurang-kurangnya seminggu sebelum berangkat). SOURCE: KOSMO ONLINE
  • Tuesday, September 2, 2008

    MINUM TEH

    Minum teh lebih fokus


    DAUN teh yang baru dipetik.


    BERITA baik buat para penggemar teh. Ramai yang tentu masih belum tahu bahawa minum secawan teh sebenarnya mampu meningkatkan daya tumpuan dan fokus di samping membantu mengurangkan berat badan.

    Pada Simposium Sains Teh Serantau yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, sekumpulan pakar termasuk saintis, penyelidik dan doktor dari dalam dan luar negara menemui satu kesimpulan daripada meminum teh - ia membantu menajamkan tumpuan atau fokus.

    Hasil kajian turut mendapati, pengambilan teh juga memberi kesan positif terhadap kecerdasan otak dengan meningkatkan aktiviti otak alfa, seterusnya menambah tumpuan kepada maklumat yang diperoleh menerusi rangsangan deria.


    Menariknya, kandungan catechins iaitu flavonoid aktif juga terbukti berkesan ke atas komposisi badan dan pengagihan lemak sekali gus mengawal masalah kegemukan atau obesiti yang semakin meningkat jumlahnya di dunia.

    Menurut Pengurus Pemakanan Global Minuman Unilever, Dr. Jane Rycroft, rahsianya adalah asid amino dinamakan L-theanine iaitu komponen semula jadi yang terkandung dalam setiap cawan teh.


    “Dahulu, penyelidik Jepun mendapati 200mg (miligram) L-theanine meningkatkan gelombang otak alfa, namun kemudiannya kajian oleh Universiti Oxford mendapati 50mg L-theanine meningkatkan aktiviti otak alfa secara beransur-ansur selepas 80 minit meminum teh,” katanya.

    Simposium itu dianjurkan oleh Lipton Institute of Tea dan dihadiri pakar penyelidik dari Australia, China dan Malaysia, bertujuan berkongsi platform secara objektif dan saintifik tentang khasiat meminum teh.


    Antaranya dapat memperbaiki prestasi mental dengan meminum dua hingga tiga cawan teh sehari apatah lagi ia merupakan minuman paling popular selepas air kosong.

    Aroma yang dikeluarkan oleh daun teh pula mencetuskan perasaan tenang manakala si peminum teh didapati mempunyai jantung yang lebih sihat berbanding golongan yang tidak meminumnya.


    Teh langsung tidak mengandungi kalori jika diminum tanpa susu dan gula, oleh itu ia merupakan pilihan ideal bagi menggantikan minuman manis.


    Oleh itu, minumlah dua hingga tiga cawan teh sehari untuk meningkatkan prestasi mental di samping memelihara kesihatan gigi kerana flavonoid juga membantu mengukuhkan enamel menentang asid dan ejen anti-bakteria yang berkesan.



    source: utusan online

    Sunday, August 3, 2008

    GIGOLO

    Hidup mewah melayan wanita elit - Kepayahan hidup menyebabkan ada pelajar IPT sanggup menjadi gigolo




    PELAJAR yang menjadi gigolo bukan sahaja melayan wanita kaya tetapi juga eksekutif lelaki warga asing.– Gambar hiasan



    KUALA LUMPUR – Segelintir penuntut universiti yang terdesak dibelenggu pelbagai masalah, daripada dipinggir keluarga, kemiskinan dan ‘dahagakan’ kehidupan mewah sudah mendorong mereka menjual maruah diri menjadi gigolo.

    Dengan bermodalkan muka tampan, tubuh tegap dan mesra, mereka mencari pelanggan menerusi ruang sembang siber dan blog.

    Jika ada keserasian, pertemuan yang diatur kemudian berpanjangan sehingga ke bilik tidur.

    Menariknya, gigoloIPT ini tidak ada caj tetap kerana kebanyakan bayaran bergantung pada kepuasan pelanggan yang terdiri dari mak datin, andartu atau isteri orang yang kesepian.

    Melalui sumber, Kosmo! diberitahu, selain seks, mereka diperlukan sekadar menemani pelanggan yang ada di antaranya bukan sahaja wanita tetapi juga golongan profesional asing yang bekerja di negara ini.

    Seorang daripadanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berkata, dia mencari kemewahan selepas bosan dengan kemiskinan keluarga.


    Penuntut sebuah IPT di ibu kota itu memberitahu, pada mulanya pekerjaan itu sekadar mencari duit poket tetapi lama kelamaan bertukar hampir sepenuh masa selepas diulit kemewahan.

    Malah katanya, faktor kemewahan itulah menyebabkan selain dia, ada sekurang-kurangnya 25 lagi gigoloyang juga kenalan kampusnya turut terbabit dalam aktiviti yang sama.

    Namun Zack antara yang paling laris sebab mempunyai susuk tubuh tinggi dan tegap serta pandai mengambil hati.


    Tambah lagi dengan kemahiran mengurut badan - menjadikan dia digilai ramai wanita kenamaan yang menjadi pelanggan tetapnya.


    “Kalau nak bergantung pada duit biasiswa atau pinjaman, mana cukup?


    “Saya bukan mengedar dadah, mencuri, menjual perempuan atau senjata api, saya cuma jadi gigolo,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.


    ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my


    P/S: ADAKAH INI CARA YG BETUL UTK CARI KEMEWAHAN...BAGI KOMEN ANDA KAT BAWAH..... TQ

    Wednesday, July 30, 2008

    BOGEL

    'Suami tidak kisah saya bogel'





    JELITA: Carla Bruni menghiasi kulit majalah Vanity Fair yang berada di pasaran semalam dan turut berkongsi kisah perkahwinannya dengan pemimpin Perancis itu.


    Isteri dakwa Presiden Perancis suka gambarnya dedah tubuh ketika jadi modelPARIS: Wanita Pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy berkata suaminya tidak marah apabila mendapat tahu yang beliau pernah bergambar bogel ketika bekerja sebagai model dulu. "Kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka hanya kerana kerjaya lalu saya, termasuk gambar bogel saya," katanya dalam wawancara dengan edisi terbaru majalah Vanity Fair yang berada di pasaran mulai semalam.


    Bruni berkata beliau mengumpulkan gambar bogelnya yang lama dan menunjukkannya kepada Presiden Nicolas Sarkozy pada awal perhubungan mereka dan menyatakan, "anda mesti tahu mengenai ini sebab lambat laun ia akan didedahkan." Reaksi Presiden itu ialah "Oh, saya suka yang ini! Boleh saya dapat sekeping gambar ini?" Bruni dipetik sebagai memberitahu majalah berkenaan.

    Super model berusia 40 tahun itu berkahwin dengan Sarkozy, 53, Februari lalu, selepas bercinta dengan presiden berkenaan. Album terbarunya As if nothing had happened mula dijual bulan ini.
    Sementara itu satu laporan lain mendakwa jelitawan berbakat itu sememangnya kepingin mempunyai anak bersama Sarkozy. "Saya sememangnya mahukan anak dan hanya masa dan keadaan diri ini yang menentukannya." Bagaimanapun Bruni menegaskan, beliau sama sekali tidak berminat untuk mencuba pelbagai program rawatan kesuburan dan teknik bantuan perubatan untuk mendapatkan zuriat.


    "Jika saya ada anak, biarlah secara semula jadi. Saya pasti gembira mampu memberikan anak yang comel buat suami tersayang. Tetapi jika apa yang diingini itu tidak menjadi, saya sama sekali tidak berhasrat untuk mencuba pelbagai rawatan kesuburan yang ada.
    "Saya tidak akan berasa kecewa atau sedih kerana kehidupan selama ini sudah terlalu indah untuk dikesali," katanya. Bruni juga tidak menafikan yang beliau sememangnya tidak sebulu dengan bekas isteri kedua Sarkozy, Cecilia.


    "Sudah pasti saya mahu keluar makan bersamanya. Tetapi biarlah, kerana Cecilia mahu pun suami juga tidak bersedia dengan kemungkinan itu. Saya tahu, mereka berdua masih dalam proses mengubati luka akibat perceraian itu." Sementara itu, satu laporan lain menyatakan album terbaru Bruni melonjak ke senarai teratas carta lagu negara itu pada minggu pertama jualan rekodnya, kata seorang penganalisis industri muzik tempatan.


    Album berkenaan menarik paling banyak perhatian berikutan ia adalah yang pertama dihasilkan model kelahiran Itali itu sebelum beralih kerjaya sebagai bintang pop selepas menjalin hubungan dengan Sarkozy.


    Album baru berjudul Com me si de rien n'etait (Bagaikan tiada apa terjadi) dan dikeluarkan menggunakan nama 'Carla Bruni', mula diedar kan di pasaran 11 Julai lalu selepas mendapat publisiti besar-besaran. Kumpulan penganalisis yang mencatat jualan rekod Perancis dikenali SNEP berkata bermula 13 Julai jualan album Bruni mengatasi Viva la Vida, nyanyian kumpulan pemuzik British, Coldplay. SNEP, bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah al bum yang dijual. – AP/AFP


    ARTICLES SOURCE: http://www.bharian.com.my

    TUDUHAN LIWAT PALSU

    Tuduhan liwat palsu, tidak berasas dan bermotif politik


    Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari Wan Salleh
    Tue | Jul 29, 08 | 4:22:29 pm MYT


    KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin tuduhan liwat ke atasnya sudah berakhir dengan pendedahan laporan doktor Pusrawi yang membuktikan tiada kesan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.


    Beliau berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi yang disebar meluas menerusi portal berita semalam membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.


    Anwar dalam sidang media di ibu pejabat KeADILan berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana melengahkan penyiasatan dan cuba untuk menutup bahan bukti yang paling penting iaitu maklumagt dari doktor pertama yang ditemui oleh Saiful.


    Anwar juga enggan memberi DNA kepada polis atas nasihat dan rujukan daripada Presiden Maljlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan yang menegaskan kewibawaan sistem kehakiman terus digugat begitu juga golongan profesional iaitu doktor dan peguam.

    Image"Ini ada kaitan juga dengan keterangan yang saya kemukakan kepada polis yang mengaitkan penglibatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Peguam Negara Ghani Patail dalam percubaan memadamkan maklumat sejak tahun 1998 dan 1999," katanya.


    Dalam pada itu, Anwar juga meminta pihak berkuasa supaya menjaga keselamatan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Saiful terjamin agar mereka tidak terdedah dengan apa-apa bahaya atau dihilangkan sepetimana yang dihebohkan sebelum ini.


    Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.


    Anwar yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

    Image"Saya rasa ini sudah berakhir kerana saya ada urusan yang lebih penting untuk bersama rakyat terutama dalam pilihan raya kecil Parlimen Kulim-Bandar Baru, saya akan tumpukan kepada bahagian agenda pertumbuhan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat," katanya.


    Kini, Anwar akan menumpukan kepada masalah negara dan menggesa kerajaan supaya meninggalkan cara yang tidak profesional iaitu dendam dan politik kotor demi menghukum musuh politik.

    Turut sama dalam sidang media, Peguam Sulaiman Abdullah iaitu peguam kanan yang akan memimpin pasukan peguambela seandainya kes ini diteruskan.


    Beberapa pimpinan dari PAS turut serta iaitu Setiausaha Agung, Dato' Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Ghazali.


    ImageDalam sidang media itu, KeADILan turut mengedarkan laporan pemeriksaan Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Anwar Ibrahim, yang menunjukkan tiada kesan pemuda itu diliwat.


    Laporan sulit dua halaman daripada Hospital Pusrawi itu turut disertakan maklumat-maklumat tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa perkataan doktor itu yang tidak jelas.

    Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam.

    Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


    Sebelum membuat laporan polis, Mohd. Saiful telah mengunjungi Pusat Rawatan Islam di Jalan Tun Razak dan kemudian Hospital Kuala Lumpur. - mks. _



    ARTICLES SOURCE: http://www.harakahdaily.net

    Monday, July 28, 2008

    CHIKUNGUNYA

    Apakah itu demam chikungunya?

    Virus Chikungunya pertama kali dijumpai di Tanzania, Afrika Timur tahun 1952. Tidak hairanlah apabila namanya pun berasal dari bahasa Swahili. Ertinya adalah yang berubah bentuk atau bongkok. Postur badan pesakitnya memang kebanyakan membongkok akibat kesakitan yang teramat di persendian tangan dan kaki. Virus ini termasuk keluarga Togaviridae, Genus alphavirus, dan dibawa oleh Nyamuk Aedes Aegypti.

    Sejauh manakah kekerapan berlakunya penyakit ini?

    Sejurus penemuan virus ini di Afrika, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia. Sejak tahun 2003, terdapat beberapa kes berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

    Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus ini. Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi penyakit ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing). Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.


    Bagaimanakah virus ini merebak?

    Penyakit chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana dibawa oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypti mahupun albopictus. Masa inkubasi virus ini ialah dua sampai empat hari, sementara manifestasinya tiga sampai sepuluh hari.

    Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

    Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

    Apakah tanda-tanda orang yang telah terkena virus ini?

    Simptom-simptom penyakit chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 celsius. Simptom lain termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

    Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.Jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

    Mujurlah, penyakit chikungunya tidak menyebabkan kematian seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang boleh sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.


    Jadi, kenapa perlu bimbang?

    Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya. Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali. Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain

    Adakah seseorang itu boleh dijangkiti virus chikungunya beberapa kali dalam hidupnya?

    Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.

    Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

    Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?

    Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

    Adakah ia boleh dirawat?

    Seperti demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah penyakit chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi mengurangkan kesakitan).

    Misalnya, pesakit diberikan ubat demam atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirehat yang cukup.

    Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.


    Bagaimana hendak mencegah virus ini dari terus menjangkiti orang lain?

    Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan penyakit chikungunya, satu satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:

    * Tidur menggunakan kelambu
    * Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar
    rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan
    nyamuk aedes


    * Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
    * Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
    * Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
    * Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.



    ARTICLES SOURCE: http://www.medicine.ukm.my




    Friday, July 18, 2008

    DENGGI

    Apa itu Demam Denggi?


    Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.



    Bagaimanakah penyakit ini merebak?


    Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika.

    Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

    Pemindahan penyakit:

    • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.

    • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).

    • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).

    • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.

    • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.



    Apakah gejala denggi?

    Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.


    Demam Denggi


    Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:

    • Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.

    • Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.

    • Pendarahan kulit adalah fenomena lazim.

    • Kadar kematian amat rendah.

    • Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.

    • Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.

    • Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.

    • Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.

    • Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)





    Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

    Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:

    • Perlindungan dari gigitan nyamuk.
    • Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
    • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
    • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.

    Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk

    Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.



    Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang

    Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.


    Musnahkan tempat pembiakan nyamuk

    Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:

    • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.

    • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.

    • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.

    • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.

    • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.



    Hapuskan nyamuk Aedes dewasa

    Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.





    articles source: http://www.infosihat.gov.my

    Monday, July 14, 2008

    DARAH TINGGI

    TEKANAN DARAH TINGGI

    Pencegahan

    Pencegahan adalah langkah terbaik untuk mengawal tekanan darah tinggi. Berikut adalah beberapa petua yang penting untuk anda :

    • Kekalkan berat badan anda
      Anda perlu mengawal berat badan ke tahap yang ideal. Ini ialah kerana pertambahan berat badan berlebihan ia akan meningkatkan tekanan darah. Jadi, sekiranya anda memiliki berat badan yg berlebih, berusahalah menurunkannya dan mendapatkan julat berat badan yang ideal dan kekalkannya buat selama-lamanya.

    • Amalkan tabiat makan yang baik
      Tabiat makan yang baik akan mengurangkan risiko terhadap banyak penyakit termasuk tekanan darah tinggi


    Berikut ialah beberapa garis panduan yang perlu diikuti untuk mengamalkan tabiat makan yang baik.


    • Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kolesterol.
      Kurangkan kandungan lemak dan minyak dalam makanan. Anda perlu mengambil sedikit sahaja lemak dalam makanan harian anda. Lemak mengandungi jumlah kalori yang berganda berbanding dengan protein dan karbohidrat. Berikut adalah beberapa cara untuk mengurangkan lemak.
      • Pilih makanan yang segar
      • Guna kaedah masakan yang tidak menggunakan minyak seperti kukus atau panggang
      • Elak dari mengguna santan terlalu banyak dan kerap
      • Buangkan kulit ayam dan lemak pada daging-daging lain.

    • Berhati-hati dengan pengambilan gula dan garam
      Terlalu banyak gula dan garam dalam makanan tidak baik untuk kesihatan. Sodium (dalam garam) sememangnya perlu tetapi badan hanya memerlukan jumlah yang sangat sedikit.
      • Anda hanya memerlukan setengah sudu teh garam sehari, jadi elakkan daripada menggunakan terlalu banyak garam dalam masakan.
      • Elakkan makanan bergaram seperti ikan masin, telur asin, cencaluk dan budu. Hadkan pengambilan anda seberapa yang boleh.
      • Kurangkan pengambilan gula.
      • Kurangkan memakan terlalu banyak kuih yang manis atau kek dan ais krim. Kuih tradisional mengandungi gula yang sangat tinggi.
      • Kurangkan minuman bergas dan bergula.

    • Pelbagaikan makanan anda
      Badan memerlukan pelbagai jenis nutrien atau zat makanan setiap hari. Nutrien tersebut boleh diperolehi dengan mempelbagaikan makanan anda. Tidak ada satu jenis makanan yang dapat membekalkan semua zat atau nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Berikut adalah nutrien utama yang diperlukan oleh tubuh badan:
      • Karbohidrat : nasi, makanan berubi (kentang, ubi kayu) dan juga bijirin
      • Vitamin dan mineral : buah-buahan dan sayuran
      • Protein : ikan, telur, daging dan kekacang.
    • Amalkan senaman
      Bersenam adalah baik kerana ia dapat menurunkan paras kolesterol darah dan dapat merendahkan tekanan darah. Senaman adalah apa juga bentuk aktiviti fizikal yang dijalankan secara berterusan selama sekurang-kurangnya 10 minit dan dapat meningkatkan denyutan nadi. Berikut adalah beberapa petua yang penting untuk melakukan senaman :
      • Lakukan senaman selama 20 - 30 minit setiap kali, 3 - 5 kali seminggu. Mulakan secara perlahan-lahan dan beransur-ansur.
      • Letak kenderaan anda dalam jarak 15 minit untuk berjalan kaki ke tempat kerja.
      • Gunakan tangga dari mengguna lif.
    • Jangan merokok
      Merokok telah diketahui umum boleh merosakkan saluran udara dan paru-paru dan keseluruahn sistem penafasan. Ia juga mampu meningkatkan tekanan darah. Senarai di bawah adalah beberapa bahan kimia beracun yang merbahaya yang terdapat di dalam rokok yang dapat merosakkan saluran darah.
      • Nikotin (bahan kimia di dalam rokok) mampu mengecilkan saluran darah
      • Karbon monoksida boleh merosakkan pengalas saluran darah, dan boleh menyumbang kepada pembentukan arterosklerosis
      • Sebagai kesimpulan, merokok boleh mengeraskan arteri dan juga menyumbang kepada arterosklerosis.


    Tanda - Tanda dan Gejala

    Biasanya, tidak ada gejala khusus untuk tekanan darah tinggi. Tetapi dalam keadaan tertentu, terdapat beberapa gejala yang berlaku apabila tekanan darah meningkat terlalu tinggi, contohnya seperti:

    • Mengalami sakit kepala
    • Kelesuan

    Tanda-tanda

    • Peningkatan bacaan tekanan darah



    ARTICLES SOURCE: http://www.infosihat.gov.my