Showing posts with label KERETA. Show all posts
Showing posts with label KERETA. Show all posts

Saturday, September 13, 2008

KELEBIHAN PUASA RAMADHAN

Kelebihan puasa Ramadan

IBADAH puasa merupakan sebaik-baik ibadah dan seagung-agung ketaatan kepada Allah Taala. Ia dinyatakan di dalam nas sama ada al-Quran mahupun As-Sunnah. Di antara kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadan ialah:


Pertama: Ia difardukan ke atas semua umat sepanjang zaman. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah : 183)


Kedua: Ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).


Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa sepenuh keimanan ialah reda sepenuhnya dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, manakala pengharapan pula bermaksud mengharapkan ganjaran pahala dari-Nya dan tidak ada perasaan syak terhadap janji-janji Allah SWT tersebut. Dengan itu orang yang berpuasa akan diampun dosanya yang telah dilakukan.


Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

Ketiga: Puasa Ramadan juga tidak terhad pahalanya atau terikat dengan kadar tertentu kerana orang yang berpuasa akan diberi ganjaran yang hanya ditentukan oleh Allah.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah SWT berfirman (Hadis Qudsi): Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus.


Puasa itu adalah benteng, oleh itu apabila kamu berpuasa maka janganlah kamu berkata keji dan berbuat nista, jika ada orang mencela kamu atau mengajak kamu bergaduh maka katakanlah kepadanya, “Saya sedang berpuasa”. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad dalam genggaman tangan-Nya (kuasa-Nya), sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, pertama; kegembiraan ketika berbuka dan kedua; kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya kelak. (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).


Hadis di atas menjelaskan dua kelebihan yang diperolehi dari ibadah puasa Ramadan iaitu:

1) Allah SWT mengkhususkan ibadah puasa dibandingkan dengan semua ibadah yang lain kerana kemuliaan-Nya dan kesukaan-Nya kepada ibadah puasa.

Ini kerana ibadah puasa adalah merupakan kerahsiaan yang membuktikan sejauhmana keikhlasan dan keimanan seorang hamba terhadap Allah.

Orang yang berpuasa boleh sahaja melakukan apa yang diharamkan oleh Allah seperti makan minum di siang hari kerana orang ramai tidak mengetahuinya, tetapi ia tidak melakukannya kerana yakin akan pengawasan Allah dan bimbang akan kemurkaan-Nya.

Oleh itu Allah SWT amat menghargai sikap ini maka ibadah puasa menjadi satu-satunya ibadah yang dikhususkan pahalanya oleh Allah.


2) Allah sendiri yang menegaskan bahawa, “Aku yang memberikan pahala ibadah puasa dan menisbahkan ganjaran kepada-Nya”. Sedangkan amal soleh yang lain dinyatakan ganjarannya iaitu dengan bilangan. Yakni setiap kebaikan dibalas dengan 10 pahala ganjaran hingga 700 kali ganda dan seterusnya.

Namun, ibadah puasa Allah SWT yang menentukannya tanpa diketahui jumlah atau bilangan pahala seperti mana ibadah-ibadah lain. Ini bermakna pahala puasa pastinya begitu besar dan tidak terhitung banyaknya.


Ini kerana puasa adalah merupakan latihan kesabaran di dalam mentaati Allah dan kesabaran di dalam menjauhi larangan-Nya serta kesabaran di dalam menanggung lapar, dahaga, kelemahan tubuh badan.


Dengan puasa juga ketiga-tiga bentuk kesabaran iaitu lapar, dahaga dan keletihan tubuh bergabung hingga melayakkan orang yang berpuasa termasuk di kalangan hamba Allah yang benar-benar sabar.


SOURCE: http://www.utusan.com.my

Tuesday, August 5, 2008

LELAKI SAYANG KERETA?

Lelaki sayang kereta lebih daripada isteri



LONDON 4 Ogos – Satu kajian di England mendapati tiga peratus daripada pemandu lelaki di negara ini lebih rela meninggalkan isteri atau teman wanita daripada tidak menggunakan kereta mereka.

Kajian organisasi permotoran AA juga mendedahkan hampir 80 peratus rakyat Britain tidak dapat hidup tanpa kereta walaupun mereka dibebani kenaikan harga minyak.


Memandu pula bukan tidak mendatangkan masalah kepada mereka.

Perbuatan memandu dengan mengekori kereta lain pada jarak dekat merupakan tabiat tertinggi iaitu sebanyak 30 peratus manakala menggunakan telefon bimbit semasa memandu pula dilakukan oleh kira-kira 26 peratus pemandu di Britain.


“Walaupun berhadapan dengan kenaikan harga minyak yang tinggi, kenaikan cukai jalan atau perbuatan mengekori kereta lain pada jarak dekat, menyalahgunakan telefon serta memonopoli laluan tengah, namun rata-rata pemandu masih tidak boleh membayangkan hidup tanpa berkereta,’’ kata Presiden AA, Edmund King.


“Mesej yang ingin disampaikan kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan ialah kita perlu belajar untuk hidup dengan berkereta daripada mengehadkan penggunaan kereta,’’ katanya.

Pada masa ini, harga purata bagi satu liter petrol tanpa plumbum di Britain ialah 116.6 pence (RM7.48), naik sebanyak 20 pence berbanding harga beberapa tahun lepas.

Kajian itu dijalankan dari 23 Mei hingga 2 Jun lalu di kalangan 18,547 ahli AA.

– Reuters


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my


P/S: ANDA SAYANG ISTERI KE.... KERETA? BAGI KOMEN KAT BAWAH..... TQ

Wednesday, July 30, 2008

MATI PUCUK

Gula-gula merawat mati pucuk beracun





KUALA LUMPUR - Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan merampas gula-gula untuk kesihatan "Hotton Vitality Candy" selepas dikesan mengandungi racun berjadual Aminotaladafil (analog tadalafil) yang boleh membawa kesan sampingan jika digunakan secara berterusan atau dalam dos yang tinggi.


Menurut kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, rampasan bernilai RM1.18 juta itu dibuat dalam serbuan di premis sebuah syarikat pengimport di Damansara Jaya dan premis pengedarnya di Bandar Puteri, Puchong pada 17 Julai lalu.


Taladafil merupakan ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mati pucuk dan penggunaan ubat itu dalam dos yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan sesak nafas serta hilang daya ingatan.


"Keselamatan menggunakan analoq bahan ini untuk tujuan perubatan belum pernah dijalankan secara saintifik. Campuran Aminotaladafil (analoq Taladafil) dalam gula-gula tersebut bertujuan mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan untuk mengelirukan orang awam bahawa gula-gula ini selamat dimakan tanpa menyedari bahaya bahan itu," kata kenyataan itu. - Bernama


ARTICLES SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Sunday, July 20, 2008

KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT

Dua tuntutan tempah kejayaan di dunia, akhirat

Oleh Masmawi Abdullah

IMAM al-Ghazali berkata, agama Islam itu ada dua bahagian iaitu :

  • Pertama meninggalkan maksiat, maksudnya tidak melakukan perkara dilarang Allah (SWT) dan Rasul-Nya.
  • Kedua, taat iaitu mengerjakan suruhan Allah (SWT) dan Rasul-Nya.

Oleh itu, jika seorang dapat memenuhi dua tuntutan berkenaan maka ia sudah mematuhi tuntutan agama Islam. Dengan ini ia sudah menempah kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.


Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Ingatlah! Sesungguhnya wali Allah (SWT) itu tiada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) bagi mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita. (Wali Allah (SWT) itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dunia dan akhirat, tiada ada (sebarang perubahan bagi janji Allah (SWT)). Demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus, ayat 62, 63 dan 64)



Dalam melakukan maksiat kepada Allah (SWT) atau mengerjakan perkara dilarang seperti berzina, mencuri, seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa dia menggunakan anggota pemberian Allah (SWT). Apakah wajar kita menerima pemberian Allah (SWT), tetapi menggunakan pemberian itu untuk menderhakai-Nya?


Imam al-Ghazali pernah berkata:

“Ketahuilah, bahawa engkau menderhakai Allah (SWT) dengan anggota engkau sedangkan ia nikmat pemberian Allah (SWT) kepada engkau dan amanah-Nya (simpanan) di sisi engkau, maka engkau meminta tolong (menggunakan) nikmat Allah (SWT) untuk melakukan maksiat kepada Allah (SWT) adalah sangat kufur nikmat Allah (SWT).”


Allah (SWT) jadikan mata untuk kita melihat kejadian di muka bumi dan di langit sebagai dalil kekuasaan Allah (SWT). Oleh itu, hendaklah kita menjaga dan mengawal mata supaya tidak melihat perkara yang dilarang Allah (SWT).


Telinga pula, Allah (SWT) jadikan untuk mendengar perkara yang baik seperti bacaan al-Quran, ceramah agama serta seruan mengajak kepada kebaikan. Dilarang kita menggunakan telinga mendengar perkara tidak baik dan boleh mendatangkan kerosakan.


Sementara itu, hikmat Allah (SWT) jadikan lidah supaya dapat kita menyebut nama Allah (SWT), membaca al-Quran, dapat memberi ilmu pengetahuan, memberi nasihat, menyuruh berbuat kebaikan serta melarang berbuat perkara mungkar.


Perut pula hendaklah kita memelihara daripada memakan makanan yang haram, makanan subahat (tidak jelas haram halalnya). Sementara dua tangan, hendaklah menjaganya supaya tidak melakukan perkara dilarang seperti mengambil sesuatu kepunyaan orang secara tidak sah atau menulis berita tidak benar.


Sentiasalah ingat firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Pada hari yang Kami tutupkan mulut mereka, sedang tangan mereka bercakap kepada Kami dan naik saksi kaki mereka dengan semua maksiat yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dulu (hari itu ialah hari kiamat).” (Surah Yasin, ayat 62)



ARTICLES SOURCE: http://nurjeehan.hadithuna.com

Monday, July 14, 2008

DARAH TINGGI

TEKANAN DARAH TINGGI

Pencegahan

Pencegahan adalah langkah terbaik untuk mengawal tekanan darah tinggi. Berikut adalah beberapa petua yang penting untuk anda :

  • Kekalkan berat badan anda
    Anda perlu mengawal berat badan ke tahap yang ideal. Ini ialah kerana pertambahan berat badan berlebihan ia akan meningkatkan tekanan darah. Jadi, sekiranya anda memiliki berat badan yg berlebih, berusahalah menurunkannya dan mendapatkan julat berat badan yang ideal dan kekalkannya buat selama-lamanya.

  • Amalkan tabiat makan yang baik
    Tabiat makan yang baik akan mengurangkan risiko terhadap banyak penyakit termasuk tekanan darah tinggi


Berikut ialah beberapa garis panduan yang perlu diikuti untuk mengamalkan tabiat makan yang baik.


  • Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kolesterol.
    Kurangkan kandungan lemak dan minyak dalam makanan. Anda perlu mengambil sedikit sahaja lemak dalam makanan harian anda. Lemak mengandungi jumlah kalori yang berganda berbanding dengan protein dan karbohidrat. Berikut adalah beberapa cara untuk mengurangkan lemak.
    • Pilih makanan yang segar
    • Guna kaedah masakan yang tidak menggunakan minyak seperti kukus atau panggang
    • Elak dari mengguna santan terlalu banyak dan kerap
    • Buangkan kulit ayam dan lemak pada daging-daging lain.

  • Berhati-hati dengan pengambilan gula dan garam
    Terlalu banyak gula dan garam dalam makanan tidak baik untuk kesihatan. Sodium (dalam garam) sememangnya perlu tetapi badan hanya memerlukan jumlah yang sangat sedikit.
    • Anda hanya memerlukan setengah sudu teh garam sehari, jadi elakkan daripada menggunakan terlalu banyak garam dalam masakan.
    • Elakkan makanan bergaram seperti ikan masin, telur asin, cencaluk dan budu. Hadkan pengambilan anda seberapa yang boleh.
    • Kurangkan pengambilan gula.
    • Kurangkan memakan terlalu banyak kuih yang manis atau kek dan ais krim. Kuih tradisional mengandungi gula yang sangat tinggi.
    • Kurangkan minuman bergas dan bergula.

  • Pelbagaikan makanan anda
    Badan memerlukan pelbagai jenis nutrien atau zat makanan setiap hari. Nutrien tersebut boleh diperolehi dengan mempelbagaikan makanan anda. Tidak ada satu jenis makanan yang dapat membekalkan semua zat atau nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Berikut adalah nutrien utama yang diperlukan oleh tubuh badan:
    • Karbohidrat : nasi, makanan berubi (kentang, ubi kayu) dan juga bijirin
    • Vitamin dan mineral : buah-buahan dan sayuran
    • Protein : ikan, telur, daging dan kekacang.
  • Amalkan senaman
    Bersenam adalah baik kerana ia dapat menurunkan paras kolesterol darah dan dapat merendahkan tekanan darah. Senaman adalah apa juga bentuk aktiviti fizikal yang dijalankan secara berterusan selama sekurang-kurangnya 10 minit dan dapat meningkatkan denyutan nadi. Berikut adalah beberapa petua yang penting untuk melakukan senaman :
    • Lakukan senaman selama 20 - 30 minit setiap kali, 3 - 5 kali seminggu. Mulakan secara perlahan-lahan dan beransur-ansur.
    • Letak kenderaan anda dalam jarak 15 minit untuk berjalan kaki ke tempat kerja.
    • Gunakan tangga dari mengguna lif.
  • Jangan merokok
    Merokok telah diketahui umum boleh merosakkan saluran udara dan paru-paru dan keseluruahn sistem penafasan. Ia juga mampu meningkatkan tekanan darah. Senarai di bawah adalah beberapa bahan kimia beracun yang merbahaya yang terdapat di dalam rokok yang dapat merosakkan saluran darah.
    • Nikotin (bahan kimia di dalam rokok) mampu mengecilkan saluran darah
    • Karbon monoksida boleh merosakkan pengalas saluran darah, dan boleh menyumbang kepada pembentukan arterosklerosis
    • Sebagai kesimpulan, merokok boleh mengeraskan arteri dan juga menyumbang kepada arterosklerosis.


Tanda - Tanda dan Gejala

Biasanya, tidak ada gejala khusus untuk tekanan darah tinggi. Tetapi dalam keadaan tertentu, terdapat beberapa gejala yang berlaku apabila tekanan darah meningkat terlalu tinggi, contohnya seperti:

  • Mengalami sakit kepala
  • Kelesuan

Tanda-tanda

  • Peningkatan bacaan tekanan darah



ARTICLES SOURCE: http://www.infosihat.gov.my

Tuesday, July 8, 2008

SOLAT

5 Perkara Ke Arah Solat Khusyu'

  1. at-Tafahhum (التفهم): Memahamkan semua bacaan di dalam solat dan menghayatinya.
  2. at-Ta'zim (التعظيم): Rasa keagungan Allah seolah-olah melihat Allah di depan kita.
  3. al-Heybah (الهيبة): Menghadirkan perasaan gerun terhadap kekuasaan Allah.
  4. ar-Raja' (الرجاء): Meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah akan penerimaannya terhadap amal kita.
  5. al-Haya' (الحياء): Berasa malu terhadap Allah di atas segala dosa dan maksiat yang dilakukan.


articles source: http://atmkeikan.blogspot.com/

KERETA TERPAKAI

Petua Membeli Kereta Terpakai



Perkara yang paling utama semasa membeli kereta terpakai pastikan keadaan cuaca ketika memeriksa kenderaan itu adalah terang. Jangan sekali-kali memeriksa kenderaan di waktu gelap.



PEMERIKSAAN LUARAN

Sila periksa pemegang pintu
Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan senang
Pastikan 'bumper' belakang tidak calar dan karat
Pastikan sistem ekzos tidak berkarat
Pastikan rim tidak bengkok dan berkarat
Pastikan semua lampu berfungsi dengan baik



PEMERIKSAAN ENJIN

Pastikan keadaan enjin mestilah bersih
Pastikan enjin tidak diubahsuai
Pastikan keadaan enjin dan pastikan tiada bocoran. Bagi menunjukkan
ada kebocoran pada enjin, anda boleh meletakkan sekeping kotak putih
di bawah enjin selepas menguji pandu kenderaan tersebut.
Tiada kebocoran pada radiator dan sistem penyejuk
Pastikan semua 'belt' berada dalam keadaan baik



PEMERIKSAAN DALAMAN

Pastikan pintu dan bonet boleh dibuka dan ditutup dengan mudah
Pastikan semua cermin berada dalam keadaan baik
Pastikan karpet kereta berada dalam keadaan baik
Pastikan lantai tidak berkarat
Pastikan 'dashboard' tidak retak
Pusingkan setering ke kiri dan ke kanan
Tiada masalah dengan pedal brek dan clutch
Pastikan penghawa dingin berfungsi dengan baik
Pastikan tali pinggang boleh dipakai
Pastikan 'jeck' clan tayar simpanan berada dalam keadaan baik



CUBA MEMANDU DALAM MASA 30 MINIT

Cuba hidupkan 'switch' tetapi jangan hidupkan enjin
Pastikan meter suhu bergerak
Pastikan lampu minyak enjin menyala
Pastikan lampu bateri menyala



Cuba hidupkan enjin
Pastikan semua meter berfungsi dengan baik
Pastikan tiada masalah dengan sistem gearbox
Cuba matikan enjin dan hidupkan semula
Pastikan tiada kebocoran minyak enjin berlaku di bawah
Semasa memandu kenderaan tersebut, pastikan tiada bunyi dan gegaran
Tiada masalah semasa penukaran gear
Cuba pusingkan stering 360 darjah.Adakah ia mengeluarkan sebarang bunyi?



Cuba anda pandu kenderaan tersebut dan lalui kawasan yang ada bonggol kerana ianya akan menguji sistem suspension. Cuba biarkan enjin kenderaan itu hidup dalam beberapa minit dan pastikan suhu kepanasannya berada dalam keadaan stabil.



PEMERIKSAAN TERAKHIR

Perkara paling penting ialah periksa nombor casis dan nombor enjin. Pastikan nombor tersebut sama dengan dokumen pendaftaran kereta


Tip ini dipetik dari AAM Drive magazine.