Istimewanya C230 Avantgarde
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my
LEBIH garang tetapi eksklusif. Itulah pandangan pertama penulis terhadap ahli terbaru dalam keluarga Mercedes-Benz, C230 Avantgarde yang diperkenalkan, baru-baru ini. |
LEBIH garang tetapi eksklusif. Itulah pandangan pertama penulis terhadap ahli terbaru dalam keluarga Mercedes-Benz, C230 Avantgarde yang diperkenalkan, baru-baru ini.
Sepanjang memandu uji, terasa pemanduan dan pengendaliannya memang mengasyikkan walaupun penulis menjalani ibadat puasa.
Walaupun dikategorikan sebagai sedan kompak, wajah baru C-Class ternyata tidak menampakkan ia sebuah jentera bertaraf kompak, malah berjaya menggabungkan pakej lengkap.
Sudut luar memperlihatkan keupayaan jurutera Jerman menghasilkan jentera lebih garang dan dinamik.
Perubahan menyeluruh dalam reka bentuk Mercedes ini dapat dilihat menerusi gril hadapan, lampu utama serta bonet yang menjadikan ia kelihatan lebih garang di jalan raya.
Setiap model terbaru Mercedes kini memanfaatkan sepenuhnya gril radiator dengan memperlihatkan keanggunan lambang bintang kebanggaan Mercedes-Benz yang besar.
Lambang berbucu tiga itu sentiasa mengingatkan penulis dengan jentera ‘Safety Car’ pada setiap perlumbaan Formula Satu (F1).
Panjang keseluruhan C230 Avantgarde adalah 4,581 milimeter (mm) dan model terbaru ini 55 mm lebih panjang daripada model sebelumnya iaitu generasi ketiga C-Class.
Tubuh tegap yang menggiurkan itu turut dilebarkan 42 mm kepada 1,770 mm dan jarak roda ditambah 45 mm kepada 2,760 mm menjadikan ruang dalaman lebih luas.
Bahagian belakang pula menyaksikan reka bentuk lebih aerodinamik dengan lampu belakang direka lebih bergaya dengan penggunaan LED pada lampu isyarat.
Ruang dalamannya menggabungkan ciri sporty selain aspek keselesaan menjadi keutamaan.
Padanan sut kulit hitam bermutu tinggi untuk semua tempat duduk, panel pintu dan stereng menjadikan ia benar-benar jentera sporty.
Malah, stereng dengan butang kawalan berpusat, papan pemuka mudah dicapai, moden serta bergaya menjadikan pemanduan cukup selesa.
Mengagumkan apabila sistem audio dengan penukar enam cakera boleh bertukar kepada sebuah telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi ‘bluetooth’ dan pemandu hanya perlu menekan butang ‘answer’ di stereng untuk menjawab setiap panggilan masuk.
Keistimewaan C230 Avantgarde terletak pada enjinnya iaitu enam silinder 24 injap 2,496 cc berprestasi tinggi.
Enjin berkenaan menghasilkan 204 kuasa kuda manakala tork mampu dicapai sehingga maksimum 245Nm antara 2800-5000 rpm.
Dengan kuasa tujahan setinggi itu, tidak mustahil jentera ini mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 8.6 saat selain mencatat kelajuan maksimum sehingga 233 km/j.
Walaupun nadi yang dibekalkan pada C230 Avantgarde amat berkuasa, penggunaan bahan api serendah 9.1 hingga 9.3 liter bagi jarak 100km.
C230 Avantgarde menggunakan transmisi 7G-Tronic dengan tujuh nisbah gear yang boleh dikawal menggunakan ‘paddle-shifter’.
Mod Sport membolehkan kuasa enjin digunakan secara maksimum dan hasil pecutan begitu mengagumkan selain dibantu sistem suspensi hidrolik yang akan merendah kedudukan kereta sebanyak 15 mm secara automatik untuk mengimbangi kenderaan pada kelajuan tinggi.
Untuk casis barunya, Mercedes memadankannya dengan teknologi Agility Control bagi mempertingkatkan keselesaan dan ketangkasan jentera terbarunya.
Agility Control membolehkan sistem penyerap hentak beroperasi dengan lebih mantap, stabil dan dinamik dalam pelbagai permukaan jalan.
Aspek keselamatan turut dipertingkatkan apabila model berkenaan dilengkapi Sistem Brek Adaptive yang sensitif dan selari dengan teknologi gear kenderaan.
Untuk melengkapkannya, C230 Avantgarde dipadankan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) bagi semua rodanya dan Edaran Daya Brek Elektronik (EBD).
Terbaru, sistem Start-Off Assist beroperasi mengawal sistem brek dalam situasi kritikal dan tindak balas lebih baik terhadap brek cakera dalam keadaan jalan basah.
Untuk keselamatan pemandu dan penumpang, ruang kabinnya dibekalkan dengan enam beg udara.
Kesimpulannya, penampilan C230 Avantgarde memang menjadi idaman dan pelaburan RM295,888 bagi model ini dan RM310,888 bagi versi Avantgarde Advanced berbaloi kerana kepuasan pemanduan yang hakiki.
SOURCE: MYMETRO ONLINE
No comments:
Post a Comment