Bukan laporan asal - Pusrawi
Pemeriksaan ke atas Saiful bukan berkaitan liwat
KUALA LUMPUR - Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. (HPSB) semalam menyatakan laporan perubatan terhadap Mohd. Saiful Bukhari, 23, yang disebar oleh satu laman portal internet dua hari lalu bukan yang asal.
Pengurus Besar HPSB, Wan Mahmood Wan Yaacob berkata, ini berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati laporan itu merupakan salinan daripada yang asal dan boleh dipertikaikan kesahihannya.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kesamaan tulisan tangan serta kepala surat pada laporan tersebut dan menyatakan ia hampir sama.
Wan Mahmood menegaskan, pihaknya tidak pernah mendedahkan sebarang laporan perubatan yang diperiksa ke atas Mohd. Saiful kerana ia melanggar etika pegawai perubatan yang tugasnya antara lain ialah untuk menjaga maklumat sulit pesakit.
"Satu jawatankuasa bertindak untuk menyiasat bagaimana laporan itu boleh dibawa keluar dari hospital ini telah dibentuk yang dianggotai seramai tiga pegawai dan diketuai oleh pengurus kejururawatan hospital ini,'' katanya.
Katanya, laporan lengkap mengenai hasil siasatan itu akan diketahui selewat-lewatnya tujuh hari lagi dan sesiapa yang didapati menjadi dalang penyebaran laporan itu akan dikenakan tindakan sewajarnya.
"Saya menganggap orang yang membocorkan laporan perubatan itu sebagai pengkhianat dan mungkin dia berbuat demikian selepas diupah oleh pihak tertentu.
"Saya amat terkejut pada pagi itu apabila salah seorang kakitangan saya membawa salinan laporan yang didedahkan di laman blog tersebut dan kami juga didatangi pelbagai pihak termasuk orang dari kementerian untuk mengetahui mengenai perkara itu,'' katanya.
Sementara itu, Pengarah Perubatan HPSB, Dr. Kamaruddin Ahmad yang turut berada pada sidang akhbar itu menegaskan, pada mulanya Saiful diperiksa oleh seorang doktor wanita selepas dia mengadu sakit perut.
Bagaimanapun, dia kemudiannya dirujuk kepada Dr. Muhamad Osman Abdul Hamid apabila turut mengadu sakit di bahagian dubur.
"Muhammad Osman hanya merupakan seorang pegawai perubatan yang bertugas di klinik kemalangan dan kecemasan dan bukannya seorang doktor pakar.
"Ketika menerima kehadiran pesakit, dia hanya menjalankan pemeriksaan awal ke atas Mohd. Saiful dan ketika itu dia mendapati tiada kesan koyak, darah atau nanah pada dubur mangsa tetapi itu tidak bermakna mangsa tidak diliwat,'' katanya.
Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan polis mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara.
Tambahnya, bagi mendapatkan pemeriksaan yang sewajarnya, Muhamad Osman telah mengarahkan mangsa menjalani rawatan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut Kamaruddin, berdasarkan itu, Muhammad Osman mengambil keputusan untuk tidak membuat pemeriksaan liwat selanjutnya ke atas mangsa kerana beranggapan pemeriksaan pakar di HKL lebih berkesan.
"Jadi tidak timbul isu tiada kesan liwat ketika mangsa mendapatkan rawatan di sini kerana Muhammad Osman bukanlah seorang doktor pakar yang kemudiannya mengarahkan mangsa mendapatkan rawatan selanjutnya ke HKL,'' katanya.
articles source: http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment