Volvo V50 2.4i - Kompak elegan
Model facelift wagon Volvo V50 T5 ini sekali lagi cuba untuk merangsang pengguna Malaysia untuk merasai sensasi sebuah wagon moden dan berteknologi tinggi.
SEMUA sedia maklum bahawa Malaysia bukanlah pasaran besar untuk kenderaan yang tergolong dalam segmen wagon atau estate.
Entah mengapa, jentera yang menawarkan ruang kargo luas dengan pemanduan sepenuhnya seperti sebuah sedan gagal untuk memenangi hati para pengguna tempatan sejak dahulu lagi.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, jika hendakkan kenderaan dengan muatan kargo yang luas, mereka lebih cenderung untuk memilih model MPV, SUV atau terus menukar kepada trak pikap.
"Inilah masanya untuk berubah," kata Presiden Volvo Car Malaysia, Robert Norrman ketika melancarkan model wagon terbaru keluaran Volvo, dikenali sebagai V50 2.4i.
"Pengguna tempatan kini mempunyai pilihan produk premium Volvo seperti sedan, coupe, wagon dan SUV yang pastinya sesuai untuk sesiapa sahaja. Lagi pun, model ditawarkan adalah sama dengan apa yang ada di pasaran Eropah," tambahnya lagi.
Dengan model V50 2.4i, Volvo kini melengkapkan lagi rangkaian produk barunya. Sekilas pandangan, model facelift V50 2.4i ini dibina bagi memenuhi ekspektasi pembeli lebih muda yang mahukan model estate kompak premium. Model CKD ini sememangnya mengekalkan tradisi jentera Scandinavia yang bergaya.
V50 menggabungkan reka bentuk moden dan kelajuan. Ia diserlahkan menerusi bahagian hadapan yang kompak, gril radiator sedikit kecil dan saiz hud yang pendek.
Dimensi kompak jentera ini diluahkan dengan garis kontur dan panel sisi yang kemas hingga ke bahagian belakang. Sementara lampu belakangnya terus mengekalkan reka bentuk 'pengenalan' model Volvo yang tidak konvensional dan memanjang sehingga ke bumbung.
Ruang di antara huruf pada emblem telah dijarakkan untuk kelihatan lebih jelas. Malah, saiznya juga lebih besar berbanding sebelumnya.
Fungsi automatik diperkenalkan pada aplikasi cermin sisi yang boleh dilipat. Dengan ciri auto-fold, cermin ini akan dilipat secara automatik sebaik sahaja dikunci dan berada pada kedudukan asal apabila kereta dibuka.
Anda pasti akan berpuas hati dengan apa yang dihidangkan di ruang kokpit V50. Rekaan dalamannya diinspirasikan oleh reka bentuk produk Scandinavia yang memberi penekanan terhadap permukaan kemas, material berkualiti dan dapat berfungsi dengan baik.
Sebab itulah anda boleh melihat pengenalan konsol tengah yang nipis dengan ruang penyimpanan barang iluminasi di bahagian belakangnya.
Walaupun nampak kompak, ia menyediakan ruang dalaman yang luas dan fleksibel. Setiap tempat duduknya boleh dilipat rata, sekali gus menambah keluasan ruang kargonya. Malah, bahagian belakang telah dipanjangkan sebanyak 46mm berbanding model sedan Volvo S40.
Tidak lengkap sekiranya berbicara tentang Volvo tanpa menyentuh aspek keselamatan yang ada pada V50. Jentera Volvo ini mengadaptasikan keselamatan mencegah (preventive) dan perlindungan (protective).
Keselamatan mencegah dikaitkan dengan ciri pemanduan kereta. Tubuh Volvo V50 dibina di atas kerangka yang teguh. Selain itu, Volvo telah membangunkan banyak sistem informasi keselamatan yang berperanan membantu pemandu.
Antaranya ialah sistem IDIS (Intelligent Driver Information System) yang melambatkan panggilan telefon sekiranya pemandu berada di laluan trafik yang kompleks dan memerlukan perhatian sepenuhnya.
Sementara keselamatan perlindungan pada V50 pula distruktur meliputi sistem keselamatan luaran dan dalam yang berinteraksi antara satu sama lain untuk mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku perlanggaran.
Volvo telah membangunkan pelbagai sistem keselamatan termasuklah WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Side Impact Protection System) dan IC (Inflatable Curtain). Semua ini didatangkan sebagai standard pada V50.
Di bawah hud V50, tersimpan enjin berkonfigurasi lima silinder sebaris yang menawarkan getaran rendah dan operasi yang lancar. Konfigurasi ini mampu memberikan kuasa tork yang tinggi dalam kadar rpm yang luas, ia memudahkan pecutan dan pastinya terasa lebih berkuasa.
Enjin yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 170 hp @ 6,000 rpm dan tork maksimum 230 Nm @ 4,400 rpm ini dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan Geartronic. Jentera ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam tempoh sembilan saat dengan pecutan maksimum selaju 215 km/j.
Kerangka V50 dipasang dengan topang MacPherson untuk roda hadapan dan gandar jenis Multilink bagi roda belakang yang memberikannya kestabilan, keselesaan serta maklum balas stereng yang sensitif.
Sistem STC (Stability and Traction Control) juga digunakan bagi membantu menstabilkan V50 sekiranya ia hilang cengkaman di atas jalan.
Jentera ini dibangun serta dilengkapi dengan sistem yang memberi impak paling sedikit kepada alam sekitar. Menerusi sistem IAQS (Interior Air Quality System), ia bertanggungjawab mengurangkan pembebasan partikel, gas dan bau kurang menyenangkan daripada masuk ke dalam kabin.
Malah, semua tekstil dan kulit yang digunakannya pula menerima pensijilan OKO-TEX 100. Standard antarabangsa ini memastikan semua fabrik dan material yang ingin digunakan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang alergi kepada penumpangnya.
Kehadiran V50 boleh dikira sebagai berita baik kepada peminat segmen wagon. Ini kerana ia lebih murah berbanding model V50 T5 sedia ada yang bertanda harga RM223,500 (di atas jalan dengan insurans).
Ditawarkan pada harga RM185,500 seunit di atas jalan tanpa insurans, Volvo V50 2.4i didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu kelabu, perak dan hitam.
SOURCE: KOSMO ONLINE